Fokus Perjuangan, Perkukuh Kesatuan Dalam UMNO – Najib Samuri
KUALA LUMPUR, 10 Jan – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri menegaskan bahawa tugas utama ahli UMNO pada ketika ini adalah untuk fokus melawan pihak yang seharusnya dilawan, bukan melemahkan rakan sepasukan sendiri.
Menurut beliau, setiap bentuk perbandingan, sindiran serta pertikaian terbuka sesama ahli hanya akan menguntungkan pihak lawan yang sentiasa memerhati dan bijak memanipulasi perpecahan dalaman parti.
Katanya, disiplin parti, kesetiaan dan kematangan politik menuntut ahli UMNO menyimpan perbezaan pandangan untuk waktunya serta mengukuhkan barisan ketika perjuangan sedang berlangsung.
“Jangan biarkan emosi mengatasi kebijaksanaan. Jangan biarkan suara luar menentukan arah dalaman kita. Jika benar-benar setia kepada UMNO, maka saluran untuk menentukan kepimpinan parti ialah melalui pemilihan parti, bukan sekarang dan bukan di medan awam,” tegasnya.
Najib turut menekankan bahawa UMNO tidak pernah lemah kerana kekurangan pemimpin, sebaliknya boleh menjadi lemah apabila ahlinya terikut-ikut dengan naratif musuh sehingga lupa siapa lawan sebenar dan siapa keluarga sendiri.
“Perbezaan pandangan itu perkara biasa, namun membakar rumah sendiri ketika musuh sedang menunggu di luar pagar merupakan satu kecuaian strategik. Marilah kita kembali fokus,” katanya.
Terdahulu, PAU 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 29 November telah ditangguhkan ke 14 hingga 17 Januari bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
PAU yang bakal berlangsung minggu hadapan akan dimulakan dengan perasmian serentak Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri pada hari Rabu, sebelum acara kemuncaknya pada hari Jumaat yang melibatkan upacara menaikkan bendera serta sesi perbahasan. – UMNO Online
