Air, Api dan Jalan Jadi Fokus Utama Calon BN DUN Karamunting
SANDAKAN, 21 Nov — Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting, Datuk Chin Kim Hiung, menegaskan bahawa sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, tumpuan utamanya adalah menyelesaikan tiga isu asas rakyat bekalan air, elektrik (api) dan jalan raya.
Menurut beliau, tiga perkara tersebut merupakan keperluan asas yang perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum sebarang bentuk pembangunan baharu dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kalau saya diberi mandat, saya akan fokus kepada tiga perkara utama air, api dan jalan. Saya perhatikan keperluan asas di sini masih banyak yang perlu diperbaiki. Jadi, kalau saya menang, saya akan tumpu sepenuhnya kepada tiga perkara ini dahulu,” katanya kepada UMNO Online.
Datuk Chin berkata, hasil tinjauan dan pertemuan dari rumah ke rumah sepanjang tempoh berkempen mendapati aduan utama penduduk di kawasan Karamunting berkisar kepada masalah bekalan air yang tidak stabil, gangguan elektrik dan keadaan jalan yang perlu dinaik taraf.
“Saya sudah turun ke lapangan, mendengar sendiri suara rakyat. Hampir semua penduduk menyatakan perkara yang sama air, elektrik dan jalan. Jalan boleh kita baiki secara berperingkat, tapi jika air dan api tidak mencukupi, kehidupan harian rakyat terganggu,” ujarnya.
Beliau sterusnya menegaskan bahawa beliau tidak mahu membuat janji besar yang tidak realistik, sebaliknya menumpukan kepada isu-isu asas yang benar-benar memberi kesan kepada kesejahteraan penduduk.
“Saya tidak mahu janji pembangunan besar dahulu. Tidak guna bercakap soal projek mega kalau masalah asas pun belum selesai. Fokus saya ialah memastikan rakyat mendapat kemudahan asas yang sempurna,” tegasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan ‘walkabout’ di kawasan Jalan Leila, di sini, semalam.
Beliau menzahirkan keyakinan bahawa BN mampu mengembalikan kestabilan dan memperkukuh kesejahteraan rakyat sekiranya diberikan peluang untuk mentadbir semula negeri Sabah.
“Saya berharap rakyat Karamunting menggunakan kuasa undi mereka untuk memilih BN. Dengan mandat rakyat, kita akan pastikan isu asas diselesaikan dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun,” ujarnya. – UMNO Online
