Selesaikan Isu Air, Pewartaan Kampung Antara Agenda Arthur Tanding Di DUN Sook
PENSIANGAN, 21 Nov – Presiden PBRS merangkap Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Sri Arthur Joseph Kurup berkata pelbagai projek pembangunan di kawasannya yang melibatkan kerjasama daripada pihak Kerajaan Persekutuan banyak telah berjaya dilaksanakan.
Walaupun bagaimanapun kata Ahli Parlimen Pensiangan itu, akibat berlainan punca kuasa yang berada di bawah kawalan kerajaan negeri, banyak masalah rakyat antaranya seperti isu bekalan air dan hal ehwal tanah melibatkan pewartaan kampung tidak dapat diselesaikan.

Oleh kerana itu ujarnya, beliau menawarkan diri bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan N.45 Sook, yang berada dalam Parlimen Pensiangan.
“Oleh kerana ada beberapa bidang kuasa terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebagai contoh tanah, isu air, semua ini termasuk di bawah kerajaan negeri. Untuk menyelesaikan masalah ini saya perlu duduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya boleh mengambil peranan untuk menyelesaikan masalah itu.
“Saya berikan komitmen dengan memasukkan tawaran-tawaran ini ke dalam manifesto bahawa sekiranya saya diberi peluang di dalam berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, saya akan menyelesaikan masalah air dan juga pewartaan kampung (isu-isu tanah) yang terletak di bawah kerajaan negeri.
“Manifesto ini komitmen yang jelas, saya berani mengeluarkan manifesto sebab saya sudah membuktikan kita adalah parti dan wakil rakyat yang menunaikan janji sepertimana saya telah menunaikan janji-janji pilihan raya sebelum ini,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau ditemui sebaik selesai program bertemu rakyat di Kampung Biah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Biah di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, rekod perkhidmatannya sebagai Ahli Parlimen Pensiangan membuktikan sebahagian besar janji yang termaktub di dalam manifestonya telah berjaya dilaksanakan dan ada yang sedang dalam proses perkembangan yang positif.
“Kalau kita melihat kepada pencapaian kita selama ini kebanyakan projek yang besar seperti SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Dalit, SK (Sekolah Kebangsaan) Ambual, SK Rancangan Belia Tiulon dalam pembinaan.
“Termasuk juga projek jalan-jalan yang besar seperti jalan Rancangan Belia Tiulon, jalan masuk ke kampung Karamatui, jalan Pagalungan sehingga pekan Pensiangan sedang dilaksanakan, menunjukkan keberkesanan kita dalam Barisan Nasional (BN) yang sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Undang-undang dari Bond University, Australia itu serta Sarjana Ekonomi Antarabangsa dan Kewangan dari University of Queensland, Australia.
Antara lain rekod pencapaiannya adalah seperti projek pembinaan menaik taraf jalan Sapulut ke Pekan Pagalungun sejauh 46 kilometer bernilai RM380 juta dan dijangka siap penghujung 2026, projek pembinaan bangunan baharu Tingkatan 6 SMK Nabawan dan projek pemulihan sawah padi di Sook.
Begitu juga bantuan orang sakit dan warga emas kepada lebih 5,000 orang penerima, penubuhan Pertubuhan Peladang Sook dan pelbagai program berteraskan perkhidmatan kerajaan seperti Kembara Sains Borneo, Jualan Agromadani Mega dan Karnival TVET.
Jelasnya lagi, sebagai Presiden PBRS, beliau boleh menjadi penghubung di antara Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan.
“PBRS ini adalah parti tempatan dan satu kelebihan terbesar di mana kita mempunyai kerjasama yang sangat baik dengan Kerajaan Persekutuan dan ini telah dibuktikan melalui banyak peruntukan dan permohonan yang besar yang dinikmati dalam Parlimen Pensiangan,” katanya.
Selanjutnya dalam perkembangan yang berkaitan, Arthur mengalu-alukan atas sokongan dan kerjasama daripada UPKO Bahagian Sook yang telah memberikan komitmen untuk memastikan kemenangan BN di Sook demi kebaikan negeri Sabah. – UMNO ONLINE
