Jeffery Ambil Berat Keperluan Golongan Muda, Terutama Perumahan Dan Tingkat Ekonomi

PUTATAN, 21 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat Jeffery Nor Mohamed, berkata BN mengambil berat mengenai golongan muda dalam segala soal berhubung pendidikan, ekonomi, perumahan dan taraf kehidupan.

Katanya, golongan tersebut yang ditemuinya dan jentera parti menaruh harapan dan memberi kepercayaan hanya BN yang mampu membela kebajikan dan kepentingan mereka.

“Kita sudah keluarkan manifesto kita, bersama jentera wanita rumah ke rumah kita turut hantar ‘flyers’ manifesto yang ada melibatkan belia. Antaranya perumahan. Kita menitik-beratkan sewa beli di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Keramat dan PPR Taman Serigai.

“Kerana bagi saya kebanyakan yang duduk di sana adalah golongan bawah 50 tahun. Keperluan untuk rumah di Putatan ini sangat mendesak, amat diperlukan. Jadi bagi saya tidak perlu lagi rumah itu dianggap rumah transit kepada mereka kerana kawasan kami kecil, takkan kami biarkan mereka balik ke kampung mereka, dan mereka buat kampung setinggan, itu tidak bagus.

“Biarlah mereka duduk di sana buat proses sewa beli kepada yang layak untuk satu tempoh yang sesuai untuk mereka dengan bayaran yang agak minima yang boleh mereka tanggung setiap bulan,” katanya kepada UMNO Online yang mengakui faktor pengundi muda menjadi penentu faktor kemenangan.

Beliau ditemui ketika menyantuni anak-anak muda pengundi kali pertama yang sedang beriadah bermain badminton di Juara Arena, Ketiau di sini, baru-baru ini.

Selain itu ujarnya, BN prihatin kepada belia yang terlibat dalam e-hailing dan p-hailing dengan menyeru mereka memajukan diri dan seterusnya mampu meningkatkan hasil pendapatan.

“Begitu juga dengan program-program e-hailing. Kami tinggal di bandar tiada tempat bercucuk tanam, ramai anak muda melakukan kerja-kerja e-hailing. Kami bina satu stesen untuk mereka duduk di sana dan mungkin kita monitor dan bimbing mereka supaya bukan sahaja statik di e-hailing tetapi mereka boleh majukan diri mereka dalam pelbagai perniagaan dan secara langsung boleh meningkatkan hasil pendapatan mereka.

“Sudah tentu golongan wanita muda juga merangkumi agak besar di Putatan ini dan mereka perlu diambil berat dan tangggungjawab, sudah tentu bantuan-bantuan dan beri bimbingan untuk usahawan ini, dalam manifesto kita buka satu ‘centre’ untuk usahawan muda termasuk golongan wanita supaya dapat bimbing untuk menjadi usahawan yang betul-betul,” katanya.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Putatan itu lagi, begitu juga mengenai pentadbiran daerah Putatan, antara yang mahu ditetapkan adalah siling harga gerai-gerai kerana ramai di kawasan itu penjaja.

“Ada yang menyewa satu kedai, tidak ‘ngam’ lagi, yang mana siling ini boleh diterima oleh penjaja yang ramai anak muda, yang mereka boleh bayar dan menghasilkan pendapatan yang lebih untuk mereka bagi menanggung kehidupan keluarga dan segala perbelanjaan.

“Ini mesti kita buat agar ia dapat memberi kemudahan yang cukup baik buat anak-anak muda,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO