Tamparan Buat GRS: Timbalan Ketua Bahagian & Lebih 300 Ahli Sertai BN, Nyata Sokongan Kepada Suhaimi
SANDAKAN, 20 Nov — Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) menerima tamparan hebat apabila Timbalan Ketua Bahagian Libaran yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sungai Sibuga, Emran Elan, bersama lebih 300 ahli termasuk barisan pemuda, mengumumkan penyertaan ke dalam UMNO dan menyatakan sokongan penuh kepada calon BN, Datuk Suhaimi Nasir.
Emran berkata, keputusan itu dibuat kerana hilang kepercayaan sepenuhnya terhadap pucuk pimpinan GRS di peringkat kawasan yang disifatkannya gagal menunjukkan kepimpinan berjiwa rakyat.
“Saya menyokong penuh kepimpinan calon BN Datuk Suhaimi Nasir, kerana kami sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan PGRS yang ada di Sungai Sibuga ini.“Saya telah berada dalam parti memegang jawatan sebagai timbalan bahagian untuk memperjuangkan parti, tetapi hari ini saya sendiri melihat kepimpinan BN jauh lebih matang, mesra rakyat dan berkesan,” katanya lagi.
Menurut Emran, beliau terpanggil menyertai UMNO selepas melihat pendekatan kepimpinan Datuk Suhaimi yang disifatkan jauh lebih dekat dengan rakyat dan mampu meneruskan perjuangan sebenar untuk masyarakat.
“Pendekatan BN jauh berbeza. Pemimpinnya turun padang, mendengar masalah rakyat, dan bukan hanya berpolitik. Kami sebagai rakyat perlukan kepimpinan begini yang boleh memayungi semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Langkah Emran bersama ratusan ahli yang lain itu disifatkan sebagai gelombang kebangkitan baharu di Sungai Sibuga, sekali gus memperkukuh jentera BN menjelang fasa kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
DUN Sungai Sibuga menyaksikan pertandingan lima penjuru melibatkan Ismail Md Said (PIS), Nurulalsah Hassan Alban (Warisan), Norani Asmatil (PN-Bersatu), Datuk Amirshah Yaakub (GRS-Gagasan Rakyat). – UMNO Online
