BN Mampu Tawan Semula DUN Tungku — Saleha Wahid

LAHAD DATU, 21 Nov — Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku, Saleha Abdul Wahid, menyatakan keyakinannya bahawa BN berpotensi besar untuk merampas kembali kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Menurutnya, ia didorong oleh kekuatan jentera parti yang tersusun serta sokongan padu daripada pelbagai peringkat kepimpinan, termasuk bantuan rakan strategik dari negeri Terengganu.

“BN di DUN Tungku berpotensi menang kerana jentera parti yang tersusun di bahagian malah dibantu pula dengan negeri Terengganu dan juga saya adalah anak tempatan yang telah bekerja pada masyarakat lebih 20 tahun.

“Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah siap siaga lebih awal sebelum pembubaran kerajaan negeri. Dengan kerjasama bersatu padu pada semua jentera, tidak ada sabotaj dari mana-mana pihak. Semua calon-calon DUN saling bantu membantu dan ‘i believe we can do it’.

“Tungku akan jadi milik BN ini kerana slogan kami ‘bikin balik Tungku’. DUN ini sudah tertinggal pembangunan, insfrastruktur dan lain-lain selama tujuh tahun, dari 2018 hingga kini dan sekarang adalah masa untuk rampas kembali DUN Tungku serta membawa Tungku maju ke hadapan,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, komited untuk meneruskan semula segala agenda pembangunan yang tertangguh di kawasan DUN Tungku sekiranya kembali diberi mandat mentadbir Sabah pada PRN kali ini.

“Sekiranya BN kembali memerintah negeri Sabah ini akan menyambung kerja yang tertangguh dahulu termasuk juga di Tungku.”

Katanya, agenda-agenda bagi DUN Tungku semuanya telah dimasukkan didalam manifesto dan ada insfrastruktur akan diperbaiki.

“Semasa Sabah ditadbir oleh BN, banyak insfrastruktur dan pembangunan dijalankan oleh parti ini. Dengan pengalaman pemimpin BN di pusat dan negeri apabila memerintah kelak, ‘we a coming back with experience’.” 

Jelas Saleha, semasa BN memerintah dahulu ada perancangan untuk membina lapangan terbang di sini.

“Insya-Allah… kami akan menyambung pembinaan lapangan terbang tersebut sekiranya diberi rakyat memberi mandat kepada BN dan kembali menerajui Sabah,” jelasnya lagi.

Seterusnya kata Saleha, pembangunan insan menjadi antara fokus utama beliau dalam memastikan golongan muda dan masyarakat kawasan itu mendapat akses kemudahan yang setara dengan daerah lain.

“Banyak lagi perkara-perkara lain yang mahu diperkasakan di Tungku seperti TVET, sekolah agama, kompleks sukan dan riadah untuk anak-anak muda dan warga Tungku. 

“Kemudahan sedemikian bukan sahaja dapat meningkatkan taraf pendidikan dan kemahiran belia, malah memberikan ruang kepada penduduk setempat untuk menjalani gaya hidup sihat serta mengukuhkan hubungan komuniti,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO