Perluas Hub Pendidikan, Wujudkan UniKL Di Sandakan – Suhaimi
SANDAKAN, 20 Nov — Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, berhasrat memperluaskan pembangunan hub pendidikan Sandakan sebagai usaha memperkukuh akses rakyat terhadap peluang pembelajaran berkualiti di semua peringkt.
Sambil menyatakan komitmennya untuk terus memberikan tumpuan yang serius terhadap ‘penyakit tiga serangkai’, (air, elektrik dan jalan) yang menghantui masyarakat setempat, beliau menambah hasrat memperluaskan hub pendidikan selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat luar bandar, khususnya di Libaran, tidak ketinggalan menikmati kemudahan pendidikan yang selesa dan moden.
“Di kawasan Libaran ini, kita ada juga pusat pendidikan yang dipanggil hub pendidikan. Di sana ada MRSM, datangnya dari kerajaan mana? UMS datang dari kerajaan mana? Dari kerajaan. Politeknik datangnya dari mana? Dari kerajaan yang prihatin terhadap rakyat… kerajaan zaman BN… Justeru kalau boleh pada masa akan datang kita mahu Unikl di Libaran,” katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah TVET MARA di sini, yang dirasmikan oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, semalam.
Beliau yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sibuga seterusnya berkata pendidikan merupakan kunci utama dalam memutuskan rantaian kemiskinan di kawasan luar bandar dan memberi peluang kepada generasi muda untuk membina masa depan yang lebih baik.
“Adik-adik kita tidak meminta apa-apa yang luar biasa. Tetapi kalau kerajaan hari ini lebih mementingkan diri mereka sendiri, bagaimana mahu membentuk masa depan generasi akan datang?” katanya. – UMNO-Online
