PRN Sabah: Pilih BN Terbukti Trek Rekod, Bukan Yang Viral Di Media Sosial – Ahmad Maslan
KOTA KINABALU, 19 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan menasihatkan kepada rakyat Sabah agar tidak mudah terpengaruh dengan permainan media sosial sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini.
Menurut beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian, viral di media sosial bukan penentu keupayaan seseorang calon, malah ia sering digunakan sebagai taktik untuk menimbulkan imej palsu dan menarik perhatian tanpa asas sebenar.

Beliau menekankan bahawa rakyat perlu menilai calon berdasarkan rekod kerja dan jasa mereka di lapangan, bukan sekadar populariti maya.
“Jangan tertipu dengan media sosial. Jaga-jaga dengan taktik itu. Jangan kerana viral di media sosial, tetapi orang yang diviralkan itu tidak pernah turun padang atau berada bersama rakyat.
“Sedangkan wakil rakyat sebelum ini yang bekerja keras dan benar-benar bersama rakyat tempatan, membantu orang ramai dan bekerja untuk masyarakat,” katanya kepada UMNO Online.
Ahmad turut menegaskan bahawa PRN Sabah adalah peluang bagi rakyat untuk memilih pemimpin yang benar-benar memahami keperluan mereka dan mempunyai rekod khidmat bakti yang jelas.
Beliau menekankan, calon yang dicari bukan sekadar muncul semasa pilihan raya, tetapi mereka yang telah lama berbakti dan menyumbang pembangunan serta kesejahteraan masyarakat tempatan.
PRN Sabah kali ini, jelas Ahmad Maslan, adalah detik penting bagi rakyat untuk menilai calon berdasarkan rekod sebenar mereka, memastikan wakil rakyat yang dipilih mampu membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada setiap lapisan masyarakat di negeri ini.
Dalam masa yang sama, Ahmad bersetuju ‘Sabah for Sabahan’ diaplikasi namun menekankan bahawa ‘Sabahan for Malaysia’ lebih penting diaplikasi untuk diramaikan
“Saya juga ingin menyeru kepada rakyat Sabah, jika inginkan pembangunan maka undilah calon-calon BN yang telah terbukti dalam pelaksanaan gerak kerja,” katanya lagi. – UMNO Online
