BN Sebagai Underdog, Mohamad Alamin Tetap Optimis Demi Masa Depan Sabah
KIMANIS, 19 Nov – Calon BN N.30 Bongawan, Datuk Mohamad Alamin menzahirkan keyakinan tinggi terhadap peluang Barisan Nasional di DUN tersebut selepas menerima sambutan menggalakkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN)
Sabah berlangsung sejak penamaan calon pada Sabtu lali.
Beliau menegaskan bahawa walaupun situasi di Bongawan dianggap ‘panas’ serta sering dikaitkan dengan persaingan melibatkan tokoh besar, BN tetap kekal fokus dengan gerak kerja awal dan persiapan rapi.
Katanya, BN masuk gelanggang PRN kali ini sebagai pasukan underdog, namun itu tidak melemahkan semangat sebaliknya memperkukuh tekad untuk menghadirkan kejutan.

KIMANIS, 18 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Calon Barisan Nasional N. 30 Bongawan Datuk Mohamad Alamin bersama jentera dan pengundi dalam sesi ramah mesra di sini hari ini.
“Saya tak kisah siapa pun lawan saya. Yang penting kita sudah bersedia dari awal, jentera kita bekerja dan rakyat memberi respon sangat baik. ‘Nothing is impossible’. Saya yakin dan optimis kita mampu buat yang terbaik,” katanya kepada UMNO Online
Beliau berkata demikian selepas program ramah mesra dan ziarah kasih bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Kimanis Estate, di sini semalam
Dalam masa yang sama, Mohamad turut mengingatkan seluruh jentera BN supaya kekal fokus sehingga ke garisan penamat, tanpa rasa selesa, demi memastikan kemenangan di DUN Bongawan dapat dicapai.
“Itu sebabnya saya selalu pesan kepada jentera-jentera kita untuk terus fokus dengan gerak kerja kita demi mencapai kemenangan dan sampai garisan penamat,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Luar merangkap Ketua UMNO Bahagian Kimanis berkata, maklum balas yang diterima daripada penduduk memberikan semangat tambahan kepada pasukan jentera BN untuk bekerja lebih kuat menjelang hari pengundian.
“Sambutan amat baik dan respon amat positif. Insya-Allah dengan adanya suasana seperti ini memberikan kita keyakinan lebih tinggi bahawa peluang kita itu ada. Namun begitu saya tak mahu berasa selesa sebaliknya kita akan terus bekerja kuat.”
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
