Jafry Bertekad Teruskan Agenda Pembangunan Tergendala di Sukau

KINABATANGAN, 19 Nov — Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin, menegaskan bahawa tumpuan utamanya sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini adalah untuk meneruskan agenda pembangunan yang tergendala di kawasan tersebut.

Beliau berkata, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan sebelum ini, masih banyak keperluan asas rakyat yang belum dapat direalisasikan sepenuhnya, termasuk isu jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik di beberapa kampung.

“Saya memang masih belum berpuas hati dengan tahap pembangunan di Sukau. Banyak lagi perkara yang saya perjuangkan selama ini masih belum tercapai. Antaranya di kawasan luar bandar, dari segi jalan raya, air bersih dan lampu jalan  masih ada kampung yang belum menikmati kemudahan tersebut,” katanya.

Jafry yang merupakan penyandang bagi DUN berkenaan seterusnya menjelaskan bahawa usaha untuk membawa pembangunan ini telah dilakukan sejak dahulu lagi, namun terdapat kekangan apabila beliau berada di pihak pembangkang dalam tempoh tiga tahun lalu.

“Saya telah minta dengan kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan, tetapi ada perkara yang tertangguh kerana kedudukan saya sebagai pembangkang. Jika diberi kepercayaan semula, insya-Allah saya akan meneruskan usaha-usaha ini bagi memastikan rakyat Sukau menikmati pembangunan yang sepatutnya,” jelas beliau.

Selain isu pembangunan asas, Jafry turut menegaskan bahawa isu pemilikan tanah yang masih belum diselesaikan turut menjadi keutamaannya.

“Ada kampung yang telah didiami masyarakat tetapi hingga hari ini mereka masih belum menerima geran tanah. Saya sebenarnya telah pun mengusahakan penyelesaian perkara ini, tetapi tergendala. Jika diberi mandat, saya akan teruskan dan pastikan rakyat mendapat hak milik tanah mereka,” katanya.

Jafry turut menegaskan bahawa rakyat kini kembali menyokong BN dan perkara berkenaan merupakan satu perkembangan yang amat positif.

“Angin sokongan yang datang ini bukan kebetulan. Ia datang kerana rakyat tahu rekod BN. Sejarah membuktikan bahawa BN telah berjaya membangunkan negara dan kawasan seperti Sukau dari sudut pembangunan infrastrutur walaupun masih ada yang tertinggal sedikit,” katanya.

Menurut beliau, kelemahan kerajaan negeri yang memerintah hari ini semakin jelas apabila banyak isu asas seperti jalan berlubang, gangguan bekalan air dan elektrik menjadi rungutan berterusan rakyat.

“Dulu waktu BN mentadbir, masalah ini tidak berlaku seperti sekarang. Sekarang kita lihat banyak kes jalan rosak, ganggan bekalan air, elektrik kerap terputus. Ini semua menunjukkan kerajaan hari ini gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik,” katanya lagi.

Jafry yakin bahawa dengan sokongan padu rakyat, BN mampu menyambung semula pembangunan yang tergendala dan membawa Sukau ke tahap kemajuan yang lebih baik.

“Saya yakin dengan sambutan yang begitu positif ini, rakyat mahu lihat kesinambungan pembangunan. Dengan izin Allah dan sokongan rakyat, kita akan pastikan agenda pembangunan yang tertangguh dapat diteruskan dan Sukau akan menikmati kemajuan yang lebih menyeluruh,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO