Kaedah Berkempen Sudah Berubah… Telefon Sentiasa Di Tangan

KOTA KINABALU, 19 Nov – Perubahan pantas teknologi membuatkan kaedah kempen politik secara konvensional perlu diperhebatkan lagi dan mesti mengikut arus pemodenan zaman.

Menyedari hakikat tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berpandangan dalam mengurus dan menyalurkan maklumat terhadap golongan muda kini, perlu melibatkan penggunaan media sosial.

“Hari ini kempen sudah berbeza daripada dahulu. Dulu fokus kepada membuat perjumpaan di kawasan-kawasan, tetapi hari ini walaupun masih diamalkan tetapi ia tidak menyeluruh.

“Anak-anak muda lebih suka mendengar maklumat, info-info dan berita di media sosial (sosmed). Jentera hari ini kita utamakan menghantar mesej contohnya manifesto, aku janji mesti melalui sosmed, sebab anak-anak muda telefon hanya di tangan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui baru-baru ini di sini yang turun berkempen membantu jentera Barisan Nasional (BN) Putatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.

BN menampilkan Ketua UMNO Bahagian Putatan Jeffery Nor Mohamed sebagai calon di kawasan tersebut.

Seterusnya ujar Mohd Zaidy, mengambil contoh di DUN Tanjung Keramat, Jeffery telah lama aktif di media sosial baik di Facebook mahupun di akaun TikTok di samping masih mengamalkan secara konvensional.

“Calon di Tanjung Keramat ini telah mengaktifkan sosmed sebelum beliau jadi calon. Orang-orang di Tanjung Keramat sudah tahu apa gerak kerja calon, jumpa rumah ke rumah.

“Saya dapat maklum calon telah pergi 600 buah rumah, esok ziarah lagi, semua jentera akan pergi rumah ke rumah. Saya rasa konsep ini lebih bagus untuk mendekati hati pengundi di DUN Tanjung Keramat ini, insya-Allah,” katanya.

Manakala berhubung keputusan BN Sabah menampilkan 80 peratus muka baharu sebagai calon yang bertanding di 45 buah kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini, Mohd Zaidy berkata ia merupakan satu usaha yang amat baik menunjukkan BN sangat serius mahu mengembalikan zaman kegemilangan negeri itu.

Mohd Zaidy juga berharap pada hari pengundian 29 November nanti, rakyat akan memilih BN sebagai kerajaan yang baharu. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO