Pilih BN, Rakyat Kukusan Berhak Menikmati Insfrastruktur Lebih Baik – Chaya Sulaiman

KUKUSAN, 19 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Chaya Sulaiman menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak menikmati infrastruktur asas yang sempurna, lebih-lebih lagi ketika negara menghampiri tahun 2025.

Menurutnya, keadaan jalan raya yang semakin daif, masalah bekalan air yang berlarutan serta gangguan elektrik berterusan tidak sepatutnya berlaku sekiranya pembangunan dirancang dengan baik dan dilaksanakan secara konsisten.

“Sewajarnya isu asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik tidak lagi berlaku pada tahun 2025. Namun selepas BN tewas dalam pilihan raya lalu, kita dapat melihat bagaimana aspek infrastruktur seakan-akan tidak dipedulikan dan tidak ditambah baik oleh kerajaan yang menggantikan BN.

“Ini bukan masa untuk menuding jari, tetapi masa untuk memperbetulkan segala kepincangan yang berlaku. Rakyat di DUN Kukusan sudah terlalu lama menanggung kesusahan akibat kelewatan pembangunan asas yang sepatutnya menjadi keutamaan mana-mana kerajaan.

“Perkara sebegini sebenarnya boleh diselesaikan segera agar rakyat Sabah dapat menikmati manfaatnya. Jika rakyat memberikan mandat kepada BN, dan jika saya ditakdirkan Allah SWT untuk mewakili rakyat DUN Kukusan, saya akan membawa isu-isu penting ini ke peringkat kerajaan negeri untuk diselesaikan dengan segera,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Chaya, rakyat Kukusan mahukan perubahan yang nyata, dan BN merupakan satu-satunya parti yang mampu menawarkan penyelesaian lebih efektif serta menyeluruh demi kesejahteraan penduduk.

Pada masa sama, Chaya yang juga Ketua Wanita UMNO Kalabakan mengingatkan bahawa pada PRN lalu, kerusi DUN Kukusan tewas dengan majoriti yang amat tipis.

“Pada PRN lalu, DUN Kukusan tewas dengan majoriti tipis dan kali ini, dengan izin Allah SWT, kita berharap dapat merampas semula kerusi tersebut. Seluruh jentera parti kini terus menggerakkan tugas masing-masing di setiap PDM, memastikan para pengundi yang berada di bawah jagaan mereka dapat turun menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi nanti.

“Kita ingin memastikan pengundi Kukusan terus memberikan sokongan kepada BN agar parti ini kembali menerajui pentadbiran negeri. Hanya dengan kerajaan yang stabil dan mantap, barulah usaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda dapat direalisasikan,” katanya.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 bagi negeri Sabah dan pengundian awal akan berlangsung pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula sejurus selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam, 28 November 2025 (Jumaat). — UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO