BN Sebagai Underdog: Bersatu Hati, Jentera Kuat Boleh Tumbangkan ‘Gergasi’ Di PRN Sabah

KIMANIS, 18 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan bahawa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, Barisan Nasional (BN) berdepan cabaran sebagai pihak yang bukan kerajaan, dan semua jentera parti perlu bekerja lebih kuat untuk menyaingi jentera lawan yang sudah mentadbir negeri.

Beliau menekankan bahawa dalam apa jua persaingan, kunci kejayaan bukan pada saiz atau kedudukan pihak lawan, tetapi pada keberkesanan jentera sendiri.

“Jangan rasa rendah diri atau kecil kerana kita bersaing dengan ‘gergasi’. Gergasi tak semestinya sentiasa berdiri tegap kerana gergasi pun boleh jatuh bila dimakan anai-anai. Kita perlu berlaku sebagai anai-anai supaya gergasi boleh tumbang dan kita boleh mengambil tempat untuk mengurus lebih baik,” katanya.

Mohamad menekankan bahawa semua ahli dan penyokong BN mesti bekerja bersungguh-sungguh, sepanjang kempen ini.

Beliau berkata, “Kalau jentera kita diurus dengan baik, mana-mana gergasi politik sekalipun boleh jatuh. Yang penting adalah kita mesti bersatu hati dan membentuk kerajaan yang mantap. Kita tidak boleh mempunyai kerajaan yang terumbang-ambing.”

Beliau mengaitkan pengalaman selepas 2018, apabila kerajaan yang tidak mantap gagal mengurus negara dengan baik, sebagai pengajaran bahawa Sabah memerlukan kepimpinan yang stabil.

“Kita tak boleh tubuh kerajaan yang tidak selari kerajaan persekutuan. Jangan kita terpikat dengan janji-janji manis, dah banyak sangat janji yang ditaburkan dan akhirnya tidak ditunaikan.

“BN memasuki pilihan raya ini sebagai underdog. Kita bukan kerajaan maka sewajarnya semua jentera BN perlu kerja kuat agar dapat menyaingi jentera mereka selaku kerajaan negeri kerana dalam apa jua persaingan yang penting adalah jentera kita bersatu hati.

Mohamad menegaskan bahawa perancangan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kimanis, termasuk cadangan pembinaan Jambatan Binsulok, memerlukan sokongan penuh rakyat.

Justeru beliau menyeru pengundi untuk memastikan kemenangan BN dan calon tempatan, sebagaimana di Membakut iaitu Rusman Dulamit, agar aspirasi pembangunan Sabah dapat direalisasikan, bukannya memilih pihak yang pandai memberi janji tetapi gagal melaksanakan tindakan.

Mohamad yang turut disertai calon BN N.31 Membakut, Rusman Dulamit berkata demikian di Program Ramah Mesra dan Sembang Santai dengan penduduk Kg Binsulok, di sini.

Turut serta Ketua UMNO Bahagian Segambut, Datuk Mahadhir Sulaiman dalam kempen sempena Piliharan Raya Negeri (PRN) Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO