Hasrat ‘Duktur Kita’ Calon BN DUN Sulaman Wujudkan Klinik Bergerak

TUARAN, 18 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman Dr Shahnon Rizal Thaijudin berhasrat mahu mewujudkan klinik bergerak di kawasan Tuaran.

Kata graduan perubatan dari Kursk State Medical University, Rusia itu, menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kawasan Parlimen Tuaran adalah kawasan yang paling kurang mempunyai kemudahan fasiliti kesihatan.

“Saya nampak di Tuaran ini adalah masalah kekangan orang untuk pergi ke klinik kesihatan atau hospital disebabkan ketiadaan kenderaan ataupun kekurangan wang, mereka sukar untuk pergi.

“Apa yang ingin saya cadangkan adalah daripada pesakit pergi ke klinik, klinik itu boleh bergerak sendiri kepada pesakit. Sebagaimana sekarang ketika berkempen, saya juga bertindak sebagai doktor, menyantuni masyarakat dan merawat pesakit (jika ada ketika melawat). Jadi, itu memang menjadi salah satu perancangan saya apabila menang nanti, kita akan buka satu fasiliti klinik bergerak di kawasan Tuaran, khususnya untuk masyarakat Sulaman,” katanya kepada UMNO Online.

Dr Shahnon ditemui seusai program walkabout di Plaza CKS Solaris dan ziarah kasih di Kampung Serusup, di sini.

Dalam aktiviti ziarah kasih, Dr Shahnon juga ditemani isteri Dr Ilya Syaqira Husna, yang turut memberikan pemeriksaan kesihatan kepada mereka yang berkenaan.

Dilaporkan, tular beberapa hari lepas ketika hari penamaan Dr Shahnon mencuri perhatian apabila beliau tetap memberikan rawatan perubatan kepada seorang individu daripada kumpulan parti lawan, meskipun sedang bertanding dalam PRN Sabah ini.

Tindakan profesional dan beretika itu menjadi bualan ramai di media sosial serta di lapangan, malah dianggap sebagai gambaran jelas politik matang yang diperjuangkan BN Sabah.

Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan adab kempen politik, tetapi juga menonjolkan nilai kemanusiaan yang menjadi kekuatan utama calon muda ini.

Manakala dalam perkembangan yang lain, Dr Shahnon merakamkan ucapan terima kasih kepada pucuk pimpinan yang memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding di DUN Sulaman.

“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden (UMNO) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memberikan saya kepercayaan untuk menjadi calon bagi DUN Sulaman ini.

“Tidak dilupakan juga kepada Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Bahagian Tuaran Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi calon,” katanya.

Begitu juga kepada semua jentera dan akar umbi parti yang sentiasa berganding bahu turun ke padang dan bekerja keras berusaha untuk memenangkan parti. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO