Isu Setinggan Jadi Fokus Dr Elmiariezan Sekiranya BN Diberi Mandat
TAWAU, 17 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Dr Elmiariezan Ardan berkata komitmennya untuk menyelesaikan isu setinggan yang sekian lama membelenggu penduduk di kawasan itu menjadi fokus jika diberi mandat pada pilihan raya kali ini.
Menurutnya, penyelesaian menyeluruh melibatkan penempatan semula masyarakat adalah antara agenda utama yang akan dilaksanakan.
“Sekiranya diberi mandat untuk mengemudi DUN Apas ini ingin menyelesaikan perkara setinggan serta membuat penempatan semula bagi masyarakat di kawasan ini.
“BN komited memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan untuk rakyat dan bukan sekadar diumum tanpa hasil. Penyelesaian isu setinggan bukan sahaja melibatkan pembinaan penempatan baharu, tetapi juga memastikan kebajikan penduduk terjamin sepanjang proses dilakukan.
“Dengan tawaran penyelesaian jangka panjang serta bantuan segera kepada penduduk terjejas, BN mampu mengembalikan kepercayaan rakyat Apas terhadap kepimpinan yang berintegriti dan berkesan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau juga Bendahari Pemuda UMNO Bahagian Tawau, turut mempersoalkan ke mana hala tuju peruntukan RM10 juta yang telah disalurkan kepada Majlis Perbandaran Tawau bagi tujuan penyelesaian isu setinggan sebelum ini.
“Peruntukan RM10 juta sebenarnya telah turun kepada Majlis Perbandaran Tawau, tapi persoalannya, di mana untuk penduduk tersebut. Kita terus mencari solusi terbaik agar masyarakat mendapat haknya,” katanya lagi.
Pada masa yang sama kata Dr Elmiariezan, pandangan rakyat perlu diberikan keutamaan tanpa mengira latar belakang dan usia.
“Saya ingin membuat perubahan terutamanya dari segi pandangan akar umbi parti dan rakyat akan bawa suara mereka ke negeri. Ianya tidak kira suara dari anak muda, dewasa mahupun orang yang lebih tua.
“DUN Apas ini insfrastruktur agak terbatas kerana kepadatan penduduk dan perkara ini boleh diselesaikan dengan perbincangan, urus tadbir serta memikir untuk kebaikan rakyat,” katanya lagi.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN ke- 17 bagi negeri Sabah, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
