Mantan Adun Turun Padang Bantu Zaini Di DUN Sungai Manila
Sandakan, 19 Nov — Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Mokran Ingkat, berikrar untuk turun padang sepenuhnya membantu calon Barisan Nasional (BN) di kawasan tersebut, Zaini Tiksun, dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Datuk Mokran yang juga Pengarah Pilihan Raya Parlimen Libaran berkata, akan menggunakan segala pengalaman dan kekuatan jentera yang ada bagi memastikan DUN Sungai Manila kekal menjadi kubu kuat BN selain mencatat kemenangan di Sg Sibuga.
“Kita sekarang berada dalam medan peperangan politik. Semua bukan sahaja perlu bersedia, tetapi mesti turun masuk ke gelanggang. Persediaan sudah lama kita buat tujuannya hanya satu, memastikan DUN Sungai Manila kekal di bawah BN,” katanya pada majlis Ramah Mesra Bersama Jentera dan Masyarakat Setempat, di sini, malam tadi.
Beliau seterusnya menegaskan fokus utama bukan sekadar kepada individu calon, tetapi kepada perjuangan dan kestabilan yang dibawa oleh BN.
“Bagi saya, yang penting bukan soal siapa calon, tetapi parti BN itu sendiri. Ketika saya dahulu dicalonkan, ada yang mempersoalkan dan menolak calon luar. Tetapi saya galas amanah itu dengan penuh tanggungjawab dan Alhamdulillah, BN diberi kemenangan,” jelasnya.
Tambah Mokran, beliau menyokong penuh pencalonan Zaini Tiksun, yang disifatkannya sebagai anak tempatan yang berwibawa dan memahami denyut nadi masyarakat Sungai Manila.
“Saya dengan rendah hati mengetengahkan Saudara Zaini Tiksun kerana beliau anak tempatan yang layak dan mampu meneruskan kesinambungan perjuangan BN di Sungai Manila,” ujarnya.
Menurut beliau, banyak perancangan pembangunan di kawasan itu yang masih belum dapat direalisasikan sepenuhnya sepanjang penggal lalu.
“Ada banyak perancangan yang belum sempat dilaksanakan. Jika BN kembali membentuk kerajaan negeri dan Zaini menang di DUN ini, Insya-Allah semua perancangan itu akan dapat diteruskan dan disempurnakan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang perkhidmatannya sebagai wakil rakyat sebelum ini, dan berharap pengundi memberi kepercayaan baharu kepada BN untuk melaksanakan janji-janji pembangunan yang tertangguh.
“Saya telah beberapa kali memohon maaf atas kekurangan saya semasa menjadi wakil rakyat. BN tidak pernah lupa janji yang dibuat, cuma ada yang belum selesai. Insya-Allah, jika Zaini berjaya kali ini, semua itu akan diteruskan,” katanya lagi.
Mokran turut mengingatkan seluruh jentera BN supaya terus bergerak aktif sepanjang tempoh kempen menjelang hari pengundian pada 29 November ini.
“Saya yakin dan percaya, dengan komitmen serta kerjasama semua jentera BN, kita akan capai kemenangan di Sungai Manila. PRN kali ini bukan main-main. Ini masa untuk kita buktikan kesetiaan dan semangat perjuangan kita,” tegasnya.- UMNO Online
