PRN Sabah: Anak Muda Pilih BN, Calon Baharu Tarikan Untuk Masa Depan
KOTA KINABALU, 17 Nov – Anak muda di Sabah seru untuk cenderung menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri kali ini, lantaran penampilan 80 peratus calon-calon baharu yang lebih bertenaga dan tentunya memiliki idea segar untuk masa depan negeri.
Bagi Nurul Atyka Daut, 28 tahun, anak muda digesa memilih BN kerana parti itu konsisten membawa dasar serta perancangan baharu yang selari dengan keperluan generasi muda.

“Dengan adanya calon-calon baharu maka BN dilihat menawarkan pendekatan lebih proaktif yang tentunya akan dapat memenuhi keperluan khususnya untuk menyediakan peluang pendidikan, pekerjaan dan pembangunan ekonomi kepada golongan belia masa kini,” katanya.
Jelas beliau, anak muda memerlukan peluang yang lebih luas untuk meningkatkan taraf hidup dan enggan berada dalam kemunduran.
“Di kawasan ini, anak muda amat memerlukan peluang yang lebih luas untuk meningkatkan taraf hidup dan masa depan mereka. Justeru, dasar-dasar BN sebagaimana yang pernah dilakukan sebelum ini dianggap paling sesuai untuk
memastikan generasi muda terus maju seiring perkembangan semasa,” katanya lagi.
Sementara itu, Nur Syazwani Mohd Rahim, 32, menyatakan harapannya agar BN mencapai kemenangan pada pilihan raya kali ini.

Beliau percaya kombinasi pengalaman BN dan pembaharuan yang dibawa calon muda mampu memberikan manfaat besar kepada masyarakat.
“Calon wakil rakyat BN kali ini menampilkan lebih 80 peratus muka baharu dan terdiri daripada golongan muda, sekali gus memberi keyakinan kepada pengundi terhadap kehadiran idea-idea segar untuk pembangunan negeri dan negara.
“Pemilihan calon muda ini diyakini mampu membawa pembaharuan serta pendekatan lebih dinamik dalam memenuhi keperluan rakyat.”
Ujarnya, BN yang sudah lama bertapak sebagai sebuah gabungan politik yang kukuh turut dilihat mempunyai rekod pencapaian yang membuktikan kemampuan mereka mentadbir serta melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat.
“Pengalaman luas BN digabungkan dengan tenaga baharu para calon memberi kelebihan dalam memastikan kesinambungan pembangunan,” katanya lagi.
Bagi Sarah Fitriyah Arif, 21, anak muda perlu memilih BN kerana gabungan ini diyakini mampu mewujudkan suasana politik yang stabil, sekali gus memastikan pentadbiran yang lebih teratur dan berkesan.

Katanya, kestabilan politik menjadi asas penting untuk menentukan hala tuju pembangunan negara.
“Apabila keadaan politik stabil, peluang pekerjaan dapat diwujudkan dengan lebih baik, terutamanya untuk golongan muda yang sedang mencari ruang memulakan kerjaya. Ia juga membuka laluan kepada perancangan pembangunan yang lebih menyeluruh di seluruh negara.
“Dahulu semasa pentadbiran BN, beri penekanan kepada kemajuan kawasan luar bandar, termasuk pembangunan sekolah dan kemudahan penting untuk rakyat. Jadi kita sebagai anak muda jangan lupa untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada Sabtu lalu sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
