Jeffery Nor Calon Tepat Untuk Pengundi DUN Tanjung Keramat – Wan Rosdy
PUTATAN, 17 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang merangkap Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata calon BN Jeffery Nor Mohamed merupakan susuk tubuh yang tepat untuk dipilih oleh pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.
Kata Wan Rosdy, ini kerana Jeffery Nor telah lama berkhidmat dan berbakti kepada rakyat di kawasan Putatan dan Tanjung Keramat sebelum ini walaupun tidak bergelar sebagai wakil rakyat.

“Calon yang kita ketengahkan ini adalah bukan orang asing, bukan calon payung terjun. Beliau telah lama menabur bakti di Putatan dan sekarang ini bertanding di Tanjung Keramat dan telah memberi perkhidmatan yang cukup baik.
“Beliau seorang yang setia, ikhlas dan sanggup berjuang untuk parti dan rakyat walaupun beberapa kali nama beliau tidak diketengahkan tetapi tetap menjalankan tugas seperti biasa dan saya sangat yakin beliau memberi bakti yang terbaik untuk rakyat di Tanjung Keramat ini.
“Oleh itu saya menyeru kepada semua pengundi di Tanjung Keramat ini supaya menyokong dan mengundi beliau kerana pastinya beliau tidak mengecewakan pengundi-pengundi di sini, insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online, dalam rangka kempennya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini.
Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO ditemui selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Calon BN N.24 Tanjung Keramat, di Kampung Meruntum, di sini malam tadi yang dihadiri kira-kira hampir tiga ratus pengundi dan jentera parti.
Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Faizal Ramli yang juga Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Jeffery serta kepimpinan negeri dan bahagian angkat.
Manakala berhubung dengan keputusan BN Sabah meletakkan 80 peratus calon muka baharu dari pelbagai latar belakang pendidikan dan profesion, Wan Rosdy berkata ia merupakan satu perkara biasa sesuai dengan kehendak semasa.
“Ini adalah perkara biasa dalam mana-mana pilihan raya baik negeri mahupun umum, pastinya ada gabungan yang lama dan baharu. Kita tidak pernah tengok lagi dalam sejarah kalau penyandang dikekalkan seratus peratus.
“ini adalah proses biasa kerana kita tahu bahawa kehendak pengundi berbeza-beza, pengundi muda makin bertambah dan sudah tentunya ada calon-calon orang muda yang boleh mewakili mereka,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025 ini.
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi. – UMNO ONLINE
