Hubungan Rapat Dengan Anak Muda Jadi Kekuatan Calon BN DUN Sekong
BATU SAPI, 17 Nov — Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, Mohd Zharif Aizat Samsudin, meneruskan gerak kerja kempen dengan turun padang menemui masyarakat di sekitar kawasan PDM 40, Flat MPS dan sekitarnya.
Sejurus selepas diumumkan sebagai calon BN pada penamaan calon Piihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah pada Sabtu, Zharif tidak menunggu lama untuk turun ke lapangan, mendekati pengundi secara bersemuka dan menyantuni masyarakat setempat.“Hari ini saya berkempen. Sejak diumum sebagai calon, saya terus turun ke kawasan. Hari ini saya berada di PDM 40, Flat MPS. Saya sempat mengadakan walkabout di kampung, menghadiri kenduri arwah, dan bertemu peniaga-peniaga serta warga Sekong. Alhamdulillah, sambutan daripada penduduk amat menggalakkan,” katanya kepada UMNO Online, semalam.
Menurut beliau, pendekatan kempen kali ini lebih menekankan pertemuan bersemuka dan ziarah rumah ke rumah (house-to-house) bagi membina hubungan rapat dengan pengundi.
“Saya percaya hubungan yang rapat amat penting. Jadi pendekatan saya kali ini adalah ‘house-to-house’, bertemu seberapa ramai yang boleh, bersalaman, bertanya khabar, dan mengajak mereka untuk terus menyokong calon BN, calon nombor satu,” ujarnya.

Beliau yang lebih dikenali pangilan Arif oleh masyarakat setempat turut menjelaskan bahawa fokus utama beliau sekiranya diberi mandat oleh rakyat adalah memperkasa pembangunan anak muda di Sekong.
Tambahnya, dengan jumlah lebih 27,000 pengundi di DUN Sekong, beliau komited untuk terus berjumpa seramai mungkin penduduk sepanjang tempoh kempen.
“Hari ini mungkin baru seribu lebih yang sempat saya temui. Saya akan terus bergerak hingga malam nanti, termasuk dalam program santai bersama belia yang diadakan malam ini,” katanya.
Mengulas sambutan masyarakat terhadap pencalonannya, Arif mengakui ramai penduduk yang terharu apabila mengetahui beliau ialah anak kepada arwah Datuk Samsudin, bekas ADUN Sekong selama tiga penggal.
