‘Bina Balik Kunak’ Dirangka Teliti, Kini Masa Menggerakkannya Semula – Anil Sandhu
KUNAK, 17 Nov – Calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Datuk Seri Anil Sandhu menjelaskan bahawa perancangan pembangunan jangka panjang untuk memajukan Kunak telah tergendala akibat fitnah dan tohmahan yang menyebabkan BN tewas pada pilihan raya lalu.
Beliau juga Bendahari Pemuda UMNO Negeri Sabah berkata konsep ‘Bina Balik Kunak’ sudah dirangka dengan teliti sebagai pelan pembangunan menyeluruh, namun perubahan landskap politik menjejaskan kesinambungan usaha tersebut.

“Konsep ‘Bina Balik Kunak’ telah lama dirancang dengan baik tetapi gara-gara fitnah dan tohmahan yang tidak benar maka kerajaan BN telah tewas di negeri Sabah dan menjadi pembangkang.
“Rakyat menunggu pemimpin yang boleh berkhidmat untuk rakyat terutamanya yang ada kesetiaan, prinsip dan boleh majukan Kunak untuk bina balik apa yang tertinggal.
Jika diberi mandat, apa yang saya nak lakukan untuk Kunak ini telah dirancang 10 tahun ke depan serta akan susun kembali… itulah slogan Kunak iaitu ‘Bina Balik Kunak’.
“Jentera BN Kunak sudah bergerak selepas penamaan calon baru-baru ini. Kita telah memasang bendera-bendera BN dan persiapan-persiapan pusat daerah mengundi (PDM) sudah pun dipasang bendera dan sebagainya. BN Kunak sudah lama siap siaga apabila pembubaran telah diumumkan dan akan terus bekerja,” katanya kepada UMNO Online di perkarangan AS Centre, Kunak semalam.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh serta penyokong dan rakyat Kunak.
Anil Sandhu yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu memaklumkan, sememangnya sudah merancang agenda-agenda untuk membangunkan Kunak.

“Agenda-agenda ini akan diterjemahkan dalam manifesto Kunak yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Manifesto yang diumumkan nanti terdapat dua bahagian iaitu yang pertama manifesto dalam masa 100 hari sekiranya ditakdirkan oleh Allah SWT menjadi wakil rakyat di DUN Kunak ini dan yang kedua adalah jangka panjang iaitu selama lima tahun.
“Manifesto yang jangka pendek ini akan diselesaikan seperti bantuan kebajikan kepada rakyat Kunak iaitu 1,500 bakul-bakul makan di 40 buah kampung dan selain itu insfrastruktur kampung seperti jambatan akan dibaik pulih.
“Tidak ketinggalan juga pendidikan untuk anak-anak Kunak. Kita akan bantu anak-anak yang mahu pergi sekolah. Bagi jangka panjang akan bina kembali dewan-dewan yang telah dilulus pada tahun 2017 tetapi tiba-tiba berhenti tanpa sebab,” katanya lagi.
Ujarnya, akan susun kembali kompleks sukan dan akan terus diperjuangkan untuk anak-anak muda serta rakyat Kunak. – UMNO Online
