ADUN Seri Menanti Yakin BN Jadi Pilihan Rakyat Sabah

PUTATAN, 16 Nov – Barisan Nasional (BN) terus menerima sokongan daripada pimpinan luar Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 yang bermula pada 15 November 2025.

Antara yang menyatakan sokongan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Sufian Maradzi, yang yakin BN berupaya mengembalikan kemakmuran, kemajuan dan kestabilan negeri.

Dalam satu kenyataan, Sufian yang juga Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata BN kekal menjadi pilihan terbaik untuk meneruskan agenda pembangunan rakyat Sabah secara konsisten, terancang dan menyeluruh.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap calon BN bagi kerusi N.24 Tanjung Keramat, Jeffery Nor Mohamed, yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin berintegriti dan komited membela kepentingan rakyat.

“Saya percaya Saudara Jeffery adalah calon yang tepat untuk berkhidmat dengan amanah, telus dan bertanggungjawab demi kemajuan DUN Tanjung Keramat dan Sabah,” katanya.

Menyentuh soal pembangunan, Sufian menegaskan BN mempunyai rekod kukuh dalam membawa pembangunan berterusan, menyediakan peluang pekerjaan serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang untuk rakyat seluruh negeri.

“BN diyakini mampu menawarkan masa depan lebih baik kepada rakyat Sabah melalui pelan pembangunan yang inklusif dan lestari,” ujarnya.

Beliau juga menekankan bahawa kestabilan dan perpaduan merupakan kunci kemajuan Sabah sambil menyatakan keyakinannya bahawa Jeffery akan membawa suara rakyat tanpa mengira kaum, daerah atau latar belakang.

“Sabah kuat apabila perpaduan dipelihara. Kepimpinan seperti Saudara Jeffery penting untuk menjaga keharmonian ini,” tegasnya.

Dalam masa sama, Sufian menyeru anak muda untuk melihat peluang masa depan yang bakal dibentuk melalui komitmen BN dalam bidang pendidikan, teknologi dan keusahawanan.

“Anak muda adalah harapan Sabah. BN komited menyediakan lebih banyak ruang dan peluang untuk mereka melangkah jauh,” katanya.

Beliau turut menggesa para pengundi agar memberikan sokongan kepada BN demi masa depan negeri. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO