Fokus Kempen Menangkan Calon BN, Jentera Perlu Kekal Fokus – Mahdzir
LIBARAN, 16 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah merangkap negeri angkat Libaran, Datuk Seri Mahdzir Khalid, mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) di DUN Sungai Sibuga agar memanfaatkan sepenuhnya 13 hari tempoh berkempen bagi meyakinkan pengundi memilih calon BN, Datuk Suhaimi Nasir, calon nombor lima pada kertas undi.
Dalam perjumpaan bersama jentera PDM Sibuga, Mahdzir berkata tempoh kempen yang singkat ini akan menyaksikan pelbagai pergerakan politik memandangkan lima parti bertanding di kawasan tersebut.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa fokus jentera perlu kekal jelas, iaitu memastikan pengundi memilih calon nombor lima.
“Dalam 13 hari akan berlaku macam-macam dalam masyarakat. Parti lain akan masuk ke kawasan-kawasan untuk berkempen. Fokus kita sekarang adalah calon nombor lima dalam kertas undi,” katanya.
Mahdzir turut menjelaskan bahawa kehadiran beliau bersama rombongan dari Kedah dan kawasan lain adalah untuk membantu jentera setempat.
“Kami datang sebab kami mahu Datuk Suhaimi menang atas tiket BN,” tegasnya.
Beliau berkata kemenangan BN penting bagi membolehkan Sabah kembali dibangunkan seperti yang sepatutnya.
“Kalau nak bikin balik Sabah, kita kena ada kuasa. Untuk ada kuasa, kita kena menang. Semua tempat yang BN bertanding kita perlukan kemenangan. Pemimpin BN Sabah tahu apa yang perlu,” ujarnya.
Mahdzir menasihatkan jentera agar tidak sambil lewa terutamanya menjelang hari pengundian, kerana hari tersebut menjadi penentu kepercayaan rakyat.
“Ini peperangan. Orang lain pun akan buat benda sama. Kita mahu Datuk Suhaimi menang, begitu juga parti lain yang mahukan calon mereka menang. Sebab itu kita tidak boleh sambil lewa,” katanya.
Beliau turut menyeru jentera agar menolak sentimen politik kebencian melampau dan terus bekerja dalam keadaan tersusun serta fokus bagi memastikan kemenangan BN di Sungai Sibuga. – UMNO Online
