PRN Sabah: Jika Rakyat Mahukan Perkhidmatan Yang Konsisten, Pilihlah Calon BN

PUTATAN, 16 Nov – “Jika rakyat mahukan perkhidmatan yang konsisten, pilihlah calon BN.” Itulah mesej tegas yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir ketika menyatakan sokongan penuhnya kepada calon Barisan Nasional (BN) di N.24 Tanjong Keramat, Jeffery Nor Mohamed.

Dalam kenyataan hari ini, Mohd Zaidy menekankan bahawa Jeffery Nor merupakan seorang pemimpin yang telah membuktikan komitmen dan konsistensi dalam khidmat kepada masyarakat, serta memiliki rekod penyertaan akar umbi yang kukuh.

“Jika rakyat mahukan perkhidmatan yang konsisten, pilihlah calon BN No.3 N.24 Tanjong Keramat, Jeffery Nor Mohamed.

Beliau bukan hadir sekadar untuk bertanding, tetapi untuk meneruskan khidmat dan membina masa depan yang lebih baik untuk komuniti di sini.

“Jeffery Nor adalah pemimpin yang dekat dengan masyarakat. Setiap pertemuan, setiap kunjungan, dan setiap maklum balas yang beliau dengar daripada rakyat sentiasa menjadi asas kepada gerak kerja beliau.

“Jika diberi kepercayaan, saya yakin beliau akan terus menunjukkan konsistensi perkhidmatan sebagai wakil rakyat yang benar-benar memahami denyut nadi penduduk N24 Tanjong Keramat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pelantikan Jeffery sebagai calon BN melambangkan semangat sebenar slogan “Demi Rakyat, Demi Sabah”, yang menggambarkan keikhlasan, kesungguhan dan komitmen berterusan dalam usaha membantu rakyat.

“Ini bukan slogan kosong. Ini nilai yang Jeffery bawa – keikhlasan, kesungguhan dan keinginan untuk melihat rakyat hidup lebih selesa, lebih terjaga, dan lebih terbela,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zaidy memaklumkan bahawa jentera dari Jeram Padang, Jempol serta pasukan yang digerakkan secara konsisten melalui platform media sosial turut membantu memperkukuh kempen Jeffery, sekali gus memperhebatkan momentum ‘Bikin Balik Sabah’ khususnya di N.24 Tanjong Keramat.

Mohd Zaidy menegaskan bahawa masa depan kawasan Tanjong Keramat bergantung pada kebijaksanaan rakyat dalam memilih wakil yang benar-benar berkhidmat.

“Dan saya percaya, jika rakyat mahukan perkhidmatan yang konsisten dan berterusan, Jeffery Nor Mohamed adalah pilihan terbaik,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO