Jentera BN Gempur, Usaha Bertahun Kini Tumpu Pada Kemenangan – Jaffry
SUKAU, 16 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin, menekankan bahawa jentera parti telah bekerja tanpa henti sejak beberapa tahun lalu dan kini tiba masanya untuk mengukuhkan usaha tersebut bagi mencapai kemenangan pada hari pengundian.
Beliau merakamkan penghargaan kepada pimpinan BN di peringkat nasional dan negeri atas mandat yang diberikan untuk terus mewakili parti di DUN Sukau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.“Kerja keras jentera BN telah berjalan sejak dua hingga tiga tahun lalu. Hari ini, gelanggang sudah dibuka dan semua persiapan telah dilakukan. Sekarang, tumpuan sepenuhnya adalah untuk memastikan kemenangan calon BN,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera BN DUN Sukau dan Lamag yang disempurnakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini, semalam.
Jafry yang juga Setiausaha UMNO Sabah turut menyeru agar seluruh jentera BN terus bersatu dan tidak terpengaruh dengan perkara yang boleh melemahkan fokus mereka sepanjang tempoh kempen.
“Jangan sia-siakan usaha yang telah kita lakukan selama ini. Jangan bergaduh atau merajuk. Kita pastikan BN mampu mempertahankan Sukau pada PRN kali ini,” tegasnya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera parti pelbagai peringkat termasuklah negeri angkat Pahang yang membantu gerak kerja jentera BN di Sukau.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Datuk Hafry Ariffin; serta kepimpinan UMNO dan BN setempat. – UMNO Online
