Bung Moktar: Jangan Sia-siakan Peluang, BN Mahu Tadbir Sabah Demi Pembangunan Seimbang

KINABATANGAN, 16 Nov — Ketua UMNO Sabah yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengingatkan jentera parti dan pengundi agar tidak mensia-siakan peluang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kali ini.

Beliau berkata, jentera di DUN Lamag dan Sukau perlu memperkukuh usaha masing-masing untuk memastikan kemenangan calon BN di kedua-dua kawasan berkenaan.


“Sukau perkasakan DUN Sukau, jentera DUN Lamag perkasakan DUN Lamag. Ini bukan mesyuarat pemilihan bahagian, tetapi parti yang akan memerintah Sabah selepas ini. Masing-masing mesti bantu calon BN yang bertanding,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN DUN Lamag dan Sukau di Command Centre BN Kinabatangan, di sini, semalam.

Majlis pelancaran berkenaan disempurnakan Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Turut bersama calon BN DUN SUkau, Datuk Jafry Ariffin serta penyokong dan pendokong kepimpinan BN yang lain.

Bung Moktar seterusnya berkata beliau yakin BN masih mampu mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan dengan bantuan padu jentera parti di semua peringkat.

 “Seperti yang saya selalu sebut, buat kerja orang mahu menang. Satu undi diambil kira yang di jalan raya pun satu undi, yang main bola pun satu undi dan sebagainya lagi. Dekatilah mereka daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa sekiranya BN diberi mandat, fokus utama adalah membangunkan Kinabatangan, Lamag dan seluruh negeri Sabah dengan tawaran baharu yang akan diumumkan tidak lama lagi.

“Insya-Allah pada 22 November nanti saya akan melancarkan tawaran-tawaran baharu UMNO/BN Sabah. Tawaran ini kita yakin boleh dipenuhi dan dipikul untuk membangunkan rakyat serta negeri Sabah,” katanya.

Dalam ucapannya, Bung Moktar turut menzahirkan rasa kecewa terhadap prestasi kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disifatkan gagal menyelesaikan masalah asas rakyat.

 “Cukuplah hari ini kita berdepan pelbagai masalah…jalan raya di depan kita rosak, air bersih tiada di Kinabatangan, elektrik mati 10 kali, 20 kali. Kita tidak mahu pembangunan atas nama pecah tanah semata-mata. Inilah kerajaan GRS… gagal membangun, sekadar pecah tanah dan gembar-gembur. Kita mahu pembangunan yang seimbang dan benar-benar dirasai rakyat,” katanya.

Bung Moktar berkata BN berikrar melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO