Tamparan Buat GRS: Bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Sertai BN Bersama 2,000 Penyokong
KINABATANGAN, 16 Nov — Hari pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menyaksikan kejutan besar apabila bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Dayang Norhayati Titing, mengumumkan keluar daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) bersama hampir 2,000 ahli dan penyokong, sebelum menyertai semula UMNO/Barisan Nasional (BN).
Majlis pengisytiharan berkenaan berlangsung selepas Pelancaran Jentera BN DUN Lamag dan DUN Sukau hari ini yang disempurnakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, semalam.
Dayang Norhayati, yang juga bekas Penyelaras Wanita GRS Parlimen Kinabatangan serta Ketua Wanita PGRS Sukau, berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti secara mendalam hala tuju dan kepincangan dalam parti pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor itu.“Keputusan yang saya buat bukan hari ini, tetapi hasil daripada pemikiran yang panjang. Saya sudah tujuh tahun meninggalkan UMNO dan dalam tempoh itu banyak yang saya pelajari. Namun setelah melihat pelbagai kelemahan dan kekecewaan dalam GRS, saya dan rakan-rakan membuat keputusan untuk kembali kepada perjuangan asal,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau menegaskan langkah itu bukan kerana kepentingan jawatan, tetapi kerana ingin kembali kepada perjuangan yang diyakini dapat membantu rakyat.
“Jawatan bukan satu kebanggaan jika kita tidak mampu berbakti. Saya melihat Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai pejuang kental dan sebenar. Atas semangat perjuangan itulah saya dan rakan-rakan kembali bersama UMNO,” ujarnya.
Dayang Norhayati turut memaklumkan bahawa beliau dan kumpulannya akan membantu jentera kempen BN di DUN Lamag dan Sukau bagi memastikan kemenangan calon parti itu.
Perkembangan ini dianggap sebagai tamparan moral kepada GRS, dan ini dilihat sebagai petanda awal perubahan arus sokongan di peringkat akar umbi.- UMNO Online
