PRN: Calon BN Sabah Tawar Harapan Baharu, Bawa Gandingan Terbaik
KUALA LUMPUR, 17 Nov – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yakin Barisan Nasional (BN) Sabah menjadi pilihan terbaik rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila menampilkan calon berwibawa yang membawa harapan baharu untuk masa depan negeri.
Katanya, kombinasi calon berpengalaman dan golongan muda yang diketengahkan kali ini merupakan gandingan terbaik untuk memimpin Sabah ke arah pembangunan lebih mampan.
“Alhamdulillah, calon BN Sabah saya lihat memberi harapan baharu kepada rakyat.
“Kali ini, saya yakin rakyat Sabah tidak akan mengulangi kesilapan lalu dengan memilih wakil rakyat yang tidak mewakili kepentingan mereka.
“Kerana hanya BN yang benar-benar terbukti telah membangunkan negeri Sabah dan banyak jasa parti ini kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menolak andaian dibawa segelintir pihak bahawa BN adalah parti dari Semenanjung,
Sebaliknya Azhari menegaskan bahawa kepimpinan BN Sabah terdiri sepenuhnya daripada anak tempatan.
“Calon semuanya orang Sabah, tiada seorang pun dari Semenanjung.
“Rakyat tahu BN bukan parti baharu di negeri ini, malah sudah lama bertapak dan diterima,” ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan BN menampilkan 80 peratus calon baharu dalam PRN ini sebagai iltizam parti membawa pembaharuan lebih progresif dan responsif kepada negeri itu.
Katanya calon-calon yang diketengahkan merupakan gabungan terbaik, berpengalaman, berwibawa dan berketrampilan serta mempunyai rekod berkhidmat kepada rakyat. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
