Sumbangan Tabung Pendidikan Perkukuh Usaha Perkasa Anak Bangsa – Jamal Nerubi

PAPAR, 11 Nov – Inisiatif Tabung Pendidikan Melayu/Bumiputera (TPMB) memainkan peranan penting dalam membantu pelajar dan keluarga berpendapatan sederhana serta rendah bagi meneruskan kecemerlangan pendidikan.

Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Pendidikan Melayu/Bumiputera DUN N28 Kawang, yang disempurnakan oleh Pengerusinya, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Menurut Jamal, penyerahan bantuan kepada seramai 170 penerima itu bukan sekadar sumbangan berbentuk kewangan, malah satu manifestasi keprihatinan yang diusahakan oleh UMNO terhadap perjuangan membangunkan masa depan generasi muda Bumiputera.

“Pendidikan ialah asas kepada pembangunan bangsa. Usaha Tabung Pendidikan Melayu/Bumiputera ini sangat bermakna kerana ia bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga, tetapi turut memberi motivasi kepada anak-anak kita untuk terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya.

Jamal turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Mohd Puad dan seluruh pengurusan Tabung Pendidikan Melayu/Bumiputera atas komitmen berterusan memperkasa agenda pendidikan anak bangsa.

“UMNO Bahagian Papar akan terus menyokong program seperti ini demi memastikan anak-anak kita mendapat peluang yang sama rata untuk berjaya,” tambah beliau.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan TVET Negeri Sabah merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO