Bersama Ganding Bahu Menangkan DUN Pintasan Buat Kali Pertama – Tadzul

KOTA KINABALU, 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan Tadzul Radim menyeru semua pihak bersama bekerja dan berganding bahu memenangi kawasan itu buat pertama kali untuk BN dan UMNO khususnya.

Tadzul, 53, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sabah diumumkan sebagai calon oleh Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Ahad lalu.

“Perjuangan ini bukanlah perjuangan individu tapi perjuangan kita semua. Amanah ini amat besar dan penuh bermakna buat kita di Pintasan.

“Insya-Allah dengan semangat perjuangan dan kesetiaan kepada parti, marilah kita bersama bersatu hati memberikan kepercayaan kembali kepada UMNO/BN untuk kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan Pintasan yang lebih baik,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan Sistem itu menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya.

Terdahulu dalam perkongsiannya itu, Tadzul mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT atas amanah dan kepercayaan besar kepadanya bagi mewakili BN di DUN Pintasan kerana buat pertama kalinya parti meletakkan calon di kawasan itu.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada UMNO Pusat serta kepimpinan UMNO Negeri Sabah terutama kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional, serta YB (Yang Berhormat) Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, Ketua Perhubungan UMNO Sabah di atas kepercayaan, sokongan dan keyakinan yang amat besar buat kami di DUN Pintasan ini.

“Tidak lupa juga kepada kepimpinan Barisan Nasional P169 Kota Belud yang turut sama memberikan sokongan untuk sama-sama memperjuangkan Pintasan agar ditandingi oleh UMNO/BN pada kali ini,” katanya.

Tadzul, yang merupakan Ahli Jawatankuasa Teknikal Majlis TVET Negeri Sabah sering terlibat dalam ceramah kerjaya dan motivasi belia khususnya memperkasakan golongan muda dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta kerja-kerja kemasyarakatan bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah manakala hari penamaan calon pula adalah pada 15 Nov manakala pengundian awal pada 25 Nov.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 Nov 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah.

Ahad lalu, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan serta akan mempertahankan DUN Lamag mengumumkan BN akan bertanding di 41 kerusi DUN. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO