Skim Tanam Semula Sawit Secara Geran Penuh Wajar Dikembalikan
KUALA LUMPUR, 10 Nov – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berpandangan skim tanam semula sawit secara geran penuh wajar dikembalikan bagi membantu pekebun kecil meningkatkan produktiviti serta pendapatan mereka.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata langkah tersebut penting kerana ia mampu mengurangkan beban kos ditanggung pekebun kecil dan menggalakkan mereka melaksanakan proses tanam semula secara lebih menyeluruh.
“Pada kesempatan ini, dengan konsistennya. Saya sekali lagi ingin merayu dan mencadangkan supaya skim tanam semula sawit secara geran penuh dikembalikan.
“Saya percaya akan ada perubahan yang signifikan dan lonjakan baharu terhadap kadar tanam semula sawit di dalam negara kerana inisiatif ini dapat meringankan beban para pekebun kecil dan mendorong mereka untuk melakukan tanam semula,” katanya di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut kata beliau ini kerana perkara utama dan penting yang perlu diberikan perhatian oleh kementerian adalah mengenai kadar tanam semula sawit yang dilaporkan semakin merosot belakangan ini.
Menurut beliau ini kerana kadar tanaman semula yang direkodkan sejak dua tahun belakangan ini, masih di bawah sasaran tahunan yang disarankan oleh kementerian iaitu antara empat hingga lima peratus atau sekitar 285,000 hektar setahun.
“Sekiranya keadaan ini berterusan, sudah tentunya akan memberi kesan terhadap produktiviti dan kualiti hasil sawit, seterusnya menjejaskan pendapatan pekebun kecil.
“Lebih membimbangkan, perkara ini juga bakal memberi kesan jangka panjang terhadap kadar eksport dan daya saing negara di pasaran global,” ujar beliau. – UMNO Online
