Pegawai Perpaduan Daerah Tonggak Keharmonian Komuniti – Shamshulkahar

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli menyifatkan peranan pegawai Kementerian Perpaduan amat penting bagi memastikan keharmonian antara komuniti terus dipupuk.

Katanya, ia dapat dilakukan melalui program integrasi nasional, perpaduan komuniti madani serta pelbagai inisiatif yang bersandarkan kepada Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 di peringkat akar umbi.

“Saya ingin menarik perhatian terhadap keperluan mendesak untuk menambah bilangan pegawai Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Jempol.

“Pada masa ini, hanya terdapat dua perjawatan Penolong Pegawai Perpaduan sahaja yang ditugaskan di daerah Jempol, sedangkan jumlah penduduk di Jempol telah mencecah lebih 108,379 orang berdasarkan bancian Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2020.

“Dari segi pecahan kaum, Melayu membentuk 66.4 peratus, Cina 19.9 peratus, India 13.3 peratus, dan lain-lain kaum sebanyak 0.4 peratus. Kepelbagaian ini menggambarkan Jempol sebagai sebuah daerah yang kaya dengan nilai kepelbagaian budaya, agama dan adat resam.

“Oleh itu, Jempol mohon agar Kementerian menambah perjawatan pegawai Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Jempol secara berbilang kaum sesuai dengan komposisi penduduk Jempol,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Shamshulkahar dalam pada itu menyambut baik penubuhan Majlis Sejarawan Negara di bawah Arkib Negara Malaysia (ANM) pada Ogos 2025 yang dianggotai 17 orang pakar daripada pelbagai bidang termasuk pakar sejarah, arkeologi, antropologi dan sosiologi.

Menurut beliau ini kerana Majlis Sejarawan Negara (MSN) berperanan penting bagi memelihara ketepatan, integriti dan autoriti ilmu sejarah negara kita.

“Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan pelbagai dakwaan sejarah yang tular di media sosial, termasuk kenyataan yang mendakwa orang Rom datang ke Alam Melayu untuk belajar membuat kapal, dan beberapa dakwaan lain yang menimbulkan pelbagai tafsiran awam.

“Jempol kurang senang bila isu sejarah menjadi bahan gurauan dan bahan jenaka media sosial. Setiap kenyataan atau dakwaan yang menyentuh peradaban, tokoh dan tamadun bangsa perlu disokong oleh bukti yang kukuh serta kajian akademik yang teliti,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO