UMNO Negeri Sembilan Sedia Hadapi PRU16, Tidak Kira Serentak atau Berasingan

SEREMBAN, 6 Nov – UMNO Negeri Sembilan menegaskan kesiapsiagaan jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sama ada ia diadakan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) atau sebaliknya.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, berkata jentera parti terus diperkukuh selaras dengan arahan dan kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, bagi memastikan kekuatan akar umbi dan sokongan rakyat berada pada tahap terbaik.

“Fokus utama kami ialah memperkukuh jentera pilihan raya serta memperluas jaringan sokongan rakyat. UMNO Negeri Sembilan sentiasa bersedia menghadapi PRU16, sama ada diadakan lebih awal, mengikut jadual, serentak atau berasingan,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Beliau turut menghormati pendirian Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang menegaskan perlunya perbincangan menyeluruh antara pimpinan Kerajaan Perpaduan sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai pelaksanaan pilihan raya serentak di peringkat Persekutuan dan negeri.

Menurut Ismail, pendekatan berhati-hati itu wajar bagi memastikan kestabilan politik serta penyelarasan strategi antara parti-parti komponen, khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Namun begitu, semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan mesti diterjemahkan melalui tindakan di lapangan, bukan sekadar perbincangan di meja mesyuarat,” ujarnya.

UMNO Negeri Sembilan, katanya lagi, komited untuk terus memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat negeri itu kekal terpelihara, sambil mendokong aspirasi nasional yang digariskan kepimpinan tertinggi negara.

“Kita Gerak Bersama!” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO