Najib Lontarkan Kata-kata Semangat, Usaha Tangga Kejayaan Buat Calon SPM Dan Pelajar Tingkatan Enam
BATU PAHAT, 6 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri, berkongsi semangat selain melontarkan kata-kata peransang kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pelajar Tingkatan Enam di daerah Batu Pahat menjelang musim peperiksaan yang mula memasuki fasa awal.
Beliau berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat menyampaikan Kit SPM Majlis Johor serta bantuan makanan tengah hari percuma kepada semua calon peperiksaan tanpa mengira latar belakang keluarga sama ada B40, M40 mahupun T20.
“Inisiatif ini menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan dan semangat juang anak-anak Johor. Kita mahu semua pelajar bersedia sepenuhnya untuk mencapai kejayaan, tidak kira latar belakang,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.
Dalam pada itu, Najib turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri turut memperkenalkan inisiatif khas untuk pelajar Tingkatan Enam bagi membantu mereka meneruskan pembelajaran dengan lebih baik.
Sementara itu dalam ucapannya pada majlis penyampaian Kit peperiksaan berkenaan, beliau turut menasihatkan para pelajar agar sentiasa menghargai ibu bapa serta memohon doa restu mereka.
“Saya faham cabaran yang dilalui oleh anak-anak kita hari ini. Dulu masa saya belajar, kemudahan sangat terhad…tiada komputer riba, tiada bantuan seperti sekarang. Jadi, gunakanlah peluang yang ada sebaiknya dan mohonlah ampun serta restu ibu bapa setiap hari kerana doa mereka amat mustajab,” katanya.
Beliau turut mendoakan semua calon SPM dan pelajar Tingkatan Enam mencapai kejayaan cemerlang hasil usaha gigih dan pengorbanan mereka. – UMNO Online
