Dewan Rakyat: Ahli Parlimen Jempol Mohon Pembinaan Bangunan APM, Penjelasan Status Projek Air Felda

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli, meminta kerajaan memberi perhatian terhadap keperluan pembinaan bangunan baharu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di daerah Jempol yang ketika ini masih beroperasi tanpa premis sendiri.

Beliau berkata, APM Jempol kini menumpang di bangunan Pejabat Daerah dan ketiadaan bangunan operasi khusus menghadkan keupayaan logistik serta operasi agensi itu, termasuk ruang penyimpanan aset, kenderaan dan peralatan penyelamat.

“Keadaan ini boleh menjejaskan kecekapan respon awal dan keselamatan rakyat Jempol. Pembinaan bangunan baharu ini penting sebagai pusat kawalan (command centre) bagi koordinasi bencana daerah yang lebih sistematik serta menyokong agensi lain seperti bomba, polis dan hospital,” katanya semasa perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Shamsulkahar turut memohon penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri berhubung status Projek Sistem Bekalan Air Felda yang direkodkan pada Lampiran F sebagai projek tahun 2025 yang dimansuhkan daripada Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2026.

Beliau berkata, sebanyak 28 skim Felda di kawasan Parlimen Jempol meliputi Gugusan Raja Alias, Gugusan Serting Hilir Kompleks dan Gugusan Felda Palong sering berdepan gangguan bekalan air berikutan aset paip lama yang sudah rapuh dan menjangkau usia lebih 40 tahun.

“Gugusan Felda Serting Hilir Kompleks (1-7) merupakan kawasan paling kritikal dan perlu diberi perhatian segera. Permohonan penggantian paip di kawasan ini sudah beberapa kali dibangkitkan,” katanya.

Beliau berharap kerajaan dapat memberi penjelasan berhubung status peruntukan projek berkenaan di bawah Lampiran F – Anggaran Perbelanjaan 2026 dan mempertimbangkan semula permohonan bagi kawasan Felda terlibat.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO