UMNO Sungai Petani Ziarah Mangsa Ribut, #TakBanyakTapiSentiasaPeduli – Shahanim

SUNGAI PETANI, 5 Nov — Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff menzahirkan keprihatinan terhadap penduduk yang terjejas akibat ribut di Taman Sejati dan Taman Seri Pekula melalui program ziarah dan penyerahan bantuan.

Kunjungan bersama pimpinan setempat itu bertujuan meninjau keadaan rumah yang terjejas serta bertanya khabar kepada mangsa bagi menyelami sendiri kesukaran yang dialami mereka. Sebanyak empat buah rumah dikenal pasti mengalami kerosakan akibat kejadian ribut berkenaan.

Shahanim berkata, meskipun bantuan yang dihulurkan tidak besar, namun ia mencerminkan semangat #TakBanyakTapiSentiasaPeduli, selaras dengan komitmen UMNO Sungai Petani untuk terus mendekati rakyat yang ditimpa musibah.

“Saya minta maaf sangat-sangat kepada mangsa. Di bawah KEDA, bantuan baik pulih hanya untuk rumah kampung, manakala rumah taman melibatkan agensi lain. Saya berharap agensi dan wakil rakyat dapat membantu – sikit pun tak apa, yang penting kita sama-sama bantu,” katanya.

Program ziarah berkenaan turut melibatkan kerjasama UMNO Sungai Petani bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) sebagai usaha pantas menyalurkan bantuan awal kepada penduduk terjejas.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO