Mohd Zaidy Tempelak Pihak Cuma Pandai ‘Menyalak’, Buktikan Isu Selesai Demi Rakyat

JEMPOL, 4 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, menempelak segelintir pihak yang hanya tahu bercakap dan mencari salah tanpa memahami realiti kerja di lapangan.

Menurut beliau, kerja membela rakyat bukan tentang populariti atau aplikasi melalui media sosial, tetapi tindakan yang nyata dan terbukti hingga hasilnya terserlah.

“Yang satu turun padang, semak fail dan pastikan rakyat dapat manfaat. Yang satu lagi cuma menyalak depan kamera, harap simpati netizen tapi tak ada apa,” katanya yang memberi andaian berkaitan situasi di kawasannya lantaran pihak yang lebih banyak mengkritik tanpa penyelesaian.

Mohd Zaidy menegaskan bahawa segala usaha di kawasan DUN Jeram Padang dijalankan secara telus dengan bukti dan dokumen rasmi malah bukan sekadar cakap kosong.

“Kalau tak pandai berenang, jangan salahkan air. Kalau tak tahu tatakelola, jangan menyalak macam tin kosong,” katanya menyindir pihak tertentu yang gemar berpolitik tanpa asas.

Beliau menjelaskan bahawa fokus utamanya kini tertumpu kepada penyelesaian dua isu besar yang telah lama tergantung di kawasan Jeram Padang, iaitu:
• Projek pembaikan tangki air Taman Sri Rompin, isu bertahun yang akhirnya berjaya dibawa sendiri ke pihak SAINS untuk penyelesaian.

• Bekalan air bersih di SJKT Ladang Kelpin, yang turut berjaya dibentang dan diputuskan secara kolektif bersama pihak berwajib.

Mohd Zaidy turut mengemukakan surat rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Jempol bertarikh 21 Oktober 2025, yang memberi kebenaran penggunaan tapak bagi projek pembaikan tangki air Taman Sri Rompin sebagai bukti sahih bahawa isu berkenaan kini telah diselesaikan.

“Ini bukan janji manis atau cakap kedai kopi, tetapi kerja nyata yang disahkan sendiri oleh Pentadbir Tanah Daerah Jempol,” tegasnya.

Beliau mengakui bahawa wakil rakyat seharusnya menumpukan tenaga kepada kerja untuk rakyat, bukan mencipta “drama politik” bagi meraih perhatian.

“Saya tak lari tanggungjawab malah saya kejar tanggungjawab sampai ke meja keputusan.
Isu air yang kononnya ‘tak selesai’ itu kini sudah selesai, dengan bukti bertulis.

“Yang penting, kerja terus jalan. Satu demi satu projek rakyat siap. Apa yang dulu cuma janji, kini sudah jadi realiti,” jelasnya.

Beliau juga berpesan agar mana-mana pihak tidak menafikan kerja orang lain hanya kerana iri hati.

“Kalau tak mampu menyuluh jalan, jangan pula padamkan pelita orang,” ujarnya.

Beliau dalam masa sama turut menyeru rakyat untuk menilai dengan mata hati dan menimbang secara adil siapa yang benar-benar bekerja demi kesejahteraan mereka.

“Rakyat kini semakin bijak menilai. Jangan mudah terpedaya dengan suara lantang tanpa hasil. Lihat siapa yang turun padang, siapa yang menyelesaikan masalah, dan siapa yang hanya tahu mencari kesalahan.

“Kita tak perlukan gimik, kita perlukan kerja. Kita tak perlukan drama, kita perlukan hasil.
Kalau semua pihak benar-benar ikhlas, kita akan lihat kemajuan di setiap kampung, taman dan ladang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara agensi, jabatan kerajaan dan pihak swasta akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap perancangan pembangunan di Jeram Padang dapat direalisasikan secara menyeluruh.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama dalam usaha ini. Biar perlahan, asalkan langkah kita berpijak di bumi nyata — bukan berlari di atas pentas sandiwara.

“Akhirnya, yang akan menilai bukan kamera, tapi rakyat sendiri. Saya yakin, rakyat Jeram Padang tahu siapa yang benar-benar berjuang, dan siapa yang sekadar mencari pentas,” tambah Mohd Zaidy lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO