Kerajaan Negeri Dalam Usaha Tingkat Kualiti, Kuantiti RMMJ – Mohd Jafni
KUALA LUMPUR, 4 Nov – Kerajaan Negeri Johor bersama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor sedang dalam usaha untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), kata Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan satu sesi sembang santai perumahan bersama wakil-wakil belia Johor telah diadakan pada Isnin sempena pembentangan Belanjawan Johor 2026 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, satu sesi sembang santai perumahan bersama wakil-wakil belia Johor telah diadakan sebagai platform libat urus penting menjelang pembentangan Belanjawan Johor 2026.
“Suara generasi muda yang bakal memiliki rumah pertama dalam tempoh terdekat adalah antara input kritikal yang perlu didengar secara teliti dan diangkat dalam dasar negeri.
“Dalam sesi tersebut, para belia berkongsi pandangan yang sangat bernas termasuk keperluasan penawaran RMMJ, kadar sewa dan deposit beli rumah, serta akses kepada projek perumahan di lokasi yang dekat dengan peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, pandangan dan aspirasi yang telah dilontarkan itu menjadi cerminan harapan anak muda era baharu.
“Pandangan realistik dan aspirasi mereka ini mencerminkan harapan anak muda era baharu yang menuntut penyelesaian lebih menyeluruh dan inklusif.
“Saya turut menerangkan usaha berterusan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, bersama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor dalam meningkatkan kuantiti dan kualiti RMMJ, memperkukuh Dasar Perumahan Johor dan memperkenalkan program inovatif untuk memastikan setiap belia berpeluang memiliki kediaman selesa, selamat serta bermaruah. Kita mahu belia menjadi rakan strategik dalam setiap transformasi perumahan negeri.

“Insya-Allah, input yang diterima hari ini akan dipertimbangkan dan diterjemahkan dalam tindakan untuk memastikan Belanjawan Johor 2026 terus memihak kepada kesejahteraan rakyat, khususnya generasi muda.
“Terima kasih Syed Hussien Al-Yahya, ADUN Mahkota, Mohd Johari Tarmidi, Pengarah Institut Dato Onn (IDO), Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros dan semua yang hadir, berkongsi idea serta pandangan bernas demi memastikan setiap anak muda Bangsa Johor memiliki masa depan perumahan yang lebih cerah juga terjamin,” katanya lagi. – UMNO Online
