UMNO Terus Jadi Jambatan Rakyat – FELCRA Bawa Pembangunan Ke Kinabatangan

KINABATANGAN, 4 Nov — Rakyat Kinabatangan menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan serta FELCRA Berhad atas keprihatinan berterusan membawa pembangunan dan peluang ekonomi ke daerah itu, hasil usaha bersepadu kepimpinan kerajaan yang diterajui oleh UMNO sebagai jambatan rakyat luar bandar.

Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2025 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad yang diadakan di Dataran Kinabatangan baru-baru ini menjadi bukti nyata komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar Sabah.

Rata-rata penduduk Kinabatangan yang ditemui melahirkan rasa syukur dan bangga dengan perhatian berterusan kerajaan melalui FELCRA dan kepimpinan UMNO yang menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan.
Zulkifli Joseph Teo, wakil Koperasi Sukau Kinabatangan Berhad, berkata agihan keuntungan itu amat bermakna dalam suasana ekonomi yang mencabar.

“Alhamdulillah, FELCRA tidak pernah melupakan peserta di Sabah. Terima kasih kepada kerajaan dan UMNO yang sentiasa jadi penghubung membantu kami di luar bandar,” katanya.

Bagi Anwar Badang, program pembangunan FELCRA bukan sahaja meningkatkan pendapatan malah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kami bersyukur kerana FELCRA bukan sekadar urus ladang, tetapi membantu kami membina kehidupan lebih stabil. Harapan kami semoga FELCRA terus berjaya, dan UMNO terus menjadi jambatan memperjuangkan suara rakyat Kinabatangan,” ujarnya.

Walaupun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak dapat hadir dalam majlis tersebut, teks ucapannya dibacakan oleh Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, yang turut membawa berita gembira kepada lebih 76,000 peserta FELCRA di seluruh negara.

Dalam teks ucapan tersebut, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa FELCRA mengagihkan Keuntungan Interim 2/2025 berjumlah RM207 juta kepada 76,694 peserta FELCRA di seluruh Malaysia. Agihan itu melibatkan 775 projek yang mencatat keuntungan, meningkat hampir RM78 juta berbanding tahun lalu.

“Agihan ini bukan hanya angka, tetapi bukti hasil titik peluh peserta FELCRA di seluruh negara, termasuk di Sabah. Ia menjadi simbol kejayaan rakyat luar bandar membina masa depan melalui keringat sendiri, dengan sokongan padu kerajaan dan UMNO sebagai penghubung suara rakyat,” ujar Ahmad Jazlan ketika membacakan teks ucapan itu.

Menurut beliau lagi, Kinabatangan terus menjadi tumpuan pembangunan luar bandar apabila sebanyak RM75.63 juta telah disalurkan oleh KKDW tahun ini bagi pelaksanaan pelbagai projek rakyat.

Antara peruntukan tersebut termasuk:
1. RM33.26 juta bagi 10 projek Jalan Luar Bandar (JALB)
2. RM1.62 juta untuk projek jambatan luar bandar
3. RM11.49 juta bagi bekalan air luar bandar
4. RM13.25 juta untuk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) – bina baharu dan baik pulih rumah
5. RM4.07 juta bagi dua projek FELCRA di Kinabatangan – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO