Retreat Kembara Ilmu Wanita UMNO Langkawi Kukuh Semangat Kesepaduan Pasukan
KUALA LUMPUR, 2 Nov — Program Retreat Kembara Ilmu Wanita UMNO Bahagian Langkawi dianggap berjaya memperkukuh semangat serta kesepaduan pasukan dalam kalangan ahlinya.
Ketua Wanita UMNO Langkawi, Hisham Suhaily Othman berkata menerusi pelbagai program yang diatur sepanjang lima hari empat malam, retreat berkenaan dilihat mencapai sasaran.
“Alhamdulillah…Program yang diadakan pada minggu lalu melibatkan perjalanan dari Langkawi ke Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang . Ini bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap gerakerja parti, selain membina kekuatan organisasi menjelang pilihan raya akan datang.
“Taklimat gerakerja pilihan raya disampaikan oleh Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Senator Datuk Rosni Sohar, serta mengadakan kunjungan hormatkepada beberapa pimpinan utama parti termasuk Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
“Rombongan turut berpeluang melawat Bangunan Parlimen Malaysia, Ibu Pejabat UMNO Malaysia, serta mengadakan sesi pertemuan bersama Wanita UMNO Bahagian Batu, Temerloh dan Kuantan serta Maran selain Wanita UMNO Pekan bagi mempererat hubungan antara bahagian.
“Kenangan istimewa turut tercipta apabila peserta menghadiri sesi di Istana Kehakiman sebagai tanda sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak, diikuti lawatan ke kediaman beliau di Pekan, Pahang, yang disambut oleh Datuk Mohd Nizar Mohd Najib,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online
Kata beliau lagi majlis penutup retreat disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, bersama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Ab Hamid Mohd Nazahar, yang mewakili Menteri Besar Pahang.
“Program seumpama ini bukan sahaja memperkukuh ilmu dan kefahaman organisasi dalam kalangan peserta, malah menjadi landasan untuk membina kesepaduan, semangat setiakawan dan persiapan rapi jentera Wanita UMNO Langkawimenghadapi cabaran politik masa depan. – UMNO Online
