Komitmen Kami Tidak Pernah Pudar, Terus Dekati Rakyat – Hisham Suhaily
LANGKAWI, 2 Nov — Sukarelawan Skuad Sayang 3K Wanita UMNO Negeri Kedah terus menunjukkan komitmen tinggi sebagai barisan hadapan dalam menghadapi bencana, selain aktif turun padang mendekati rakyat melalui pelbagai program kebajikan, kesihatan dan keselamatan.
Peranan itu diserlahkan menerusi penganjuran Majlis Hi Tea Skuad Sayang 3K Wanita UMNO Negeri Kedah yang berlangsung dalam suasana penuh ceria dengan tema “Modern & Trendy.”
Majlis penghargaan tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang bersama meraikan para sukarelawan daripada seluruh Parlimen di negeri ini.
Komandan Skuad Sayang 3K Kebangsaan, Hisham Suhaily Othman berkata, program seumpama itu bukan sahaja meraikan jasa sukarelawan, tetapi juga menyuntik semangat baharu kepada seluruh jentera Wanita UMNO untuk terus dekat di hati rakyat.
“Skuad Sayang 3K sentiasa komited berada di lapangan — membantu masyarakat ketika bencana, selain meneruskan pelbagai inisiatif kebajikan, kesihatan dan keselamatan bagi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh Skuad Sayang 3K Negeri Kedah atas dedikasi dan semangat sukarelawan yang menjadi tonggak kekuatan gerak kerja Wanita UMNO. – UMNO Online
