Kenaikan Cukai Taksiran: UMNO Alor Setar Desak MBAS Adakan Sesi Libat Urus

KUALA LUMPUR, 1 Nov – UMNO Bahagian Alor Setar membantah kenaikan mendadak cukai taksir baru Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan mendesak agar sesi libat urus diadakan bersama komuniti yang terkesan.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah MD Hanipah berkata kadar kenaikan mengejut itu jelas membebankan rakyat khususnya dalam suasana ekonomi yang masih tidak menentu.

“UMNO Bahagian Alor Setar memandang serius dan menzahirkan kebimbangan terhadap kenaikan mendadak cukai taksiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang dilaporkan meningkat sehingga ratusan peratus di beberapa kawasan dalam bandar raya ini.

“Kenaikan kadar secara mengejut tanpa libat urus awam yang mencukupi jelas membebankan rakyat, peniaga kecil dan pemilik premis, khususnya dalam suasana ekonomi yang masih tidak menentu.

“UMNO Alor Setar berpandangan bahawa setiap dasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat mesti dilaksanakan secara telus, berperingkat dan mengambil kira kemampuan semasa masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, beliau menyokong kenyataan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meminta agar kadar cukai tersebut disemak semula.

“UMNO Alor Setar menyokong penuh kenyataan Dewan Perniagaan Melayu Kedah (DPMM Kedah) dan beberapa NGO Penduduk yang meminta agar kerajaan negeri dan pihak MBAS menyemak semula kadar baharu cukai taksiran tersebut.

“Kami berpandangan bahawa langkah ini perlu dikaji semula secara menyeluruh agar ia tidak menjejaskan daya saing ekonomi dalam Bandar Raya Alor Setar.

“UMNO Alor Setar turut mendesak MBAS agar segera mengadakan sesi libat urus terbuka bersama wakil komuniti, pertubuhan perniagaan dan penduduk setempat bagi memberikan penjelasan terperinci berhubung asas pengiraan serta justifikasi kenaikan yang diumumkan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa UMNO Alor Setar akan terus memperjuangkan isu tersebut secara berhemah agar suara rakyat dan peniaga tidak diketepikan.

“Kami menegaskan bahawa sebagai pihak berkuasa tempatan, MBAS mempunyai tanggungjawab untuk menyelaras kutipan hasil dengan keperluan rakyat, bukan menekan kemampuan mereka. Segala keputusan mesti berpaksikan prinsip keadilan, ketelusan dan kesejahteraan masyarakat.

“UMNO Alor Setar akan terus memperjuangkan isu ini secara berhemah namun tegas, agar suara rakyat dan peniaga tidak diketepikan dalam sebarang keputusan pentadbiran,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO