Pahang Catat Pertumbuhan Produktiviti Buruh Tertinggi di Malaysia Tahun 2024
KUANTAN, 31 Okt – Pahang muncul sebagai negeri dengan pertumbuhan produktiviti buruh tertinggi di Malaysia bagi tahun 2024, mencatatkan kadar 4.9 peratus berbanding purata kadar pertumbuhan negara sebanyak 2.4 peratus.
Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pencapaian itu didorong oleh prestasi cemerlang beberapa sektor utama, khususnya sektor pembinaan yang merekodkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 15.9 peratus, diikuti sektor pertanian dengan 12.8 peratus, dan sektor perkhidmatan sebanyak 1.4 peratus.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh daya saing ekonomi negeri, di samping memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkasa melalui pembangunan sektor-sektor strategik,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Beliau menambah, kerajaan negeri akan terus berusaha mengekalkan momentum positif ini bagi merealisasikan hasrat menjadikan Pahang sebagai negeri maju, makmur dan berdaya tahan, selaras dengan agenda pembangunan mampan negeri.
“Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan,” tegas Wan Rosdy lagi. – UMNO Online
