Inisiatif Tiga Serangkai Pendidikan Johor: Dasar Prihatin, Perkukuh Keyakinan Rakyat
KUALA LUMPUR, 31 Okt – Inisiatif Tiga Serangkai Pendidikan Johor menjadi sebuah dasar prihatin yang akan terus memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut telah terbukti memberi manfaat besar kepada rakyat di seluruh Negeri Johor.

“UMNO Bahagian Johor Bahru merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, atas pelaksanaan ‘Inisiatif Tiga Serangkai Pendidikan Johor’ yang terbukti memberi manfaat besar kepada rakyat di seluruh negeri.
“Program ini bukan sekadar satu bentuk bantuan kebajikan, tetapi satu langkah strategik yang menyentuh langsung kehidupan rakyat dan meringankan beban ibu bapa serta menyemarakkan semangat anak-anak Johor untuk menghadapi peperiksaan SPM/STPM 2025 dengan penuh keyakinan,” katanya.
Ujarnya, inisiatif tersebut meliputi tiga perkara iaitu Kit SPM Maju Johor, makanan tengahari percuma sepanjang sepuluh hari peperiksaan dan Insentif Tingkatan Enam (Pra-U).
“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM853,000 untuk penyediaan Kit SPM Maju Johor yang diagihkan kepada calon-calon SPM di seluruh negeri. Ia berperanan sebagai dorongan moral dan simbol keprihatinan terhadap pelajar yang sedang berjuang dalam fasa penting kehidupan mereka.
“Melalui peruntukan sebanyak RM4.2 juta, seramai 42,466 calon SPM menerima makanan tengah hari percuma sepanjang 10 hari peperiksaan. Inisiatif ini amat bermakna kerana membantu meringankan beban kewangan keluarga dan memastikan pelajar dapat fokus sepenuhnya terhadap pembelajaran tanpa perlu risau soal kebajikan asas.
“Kerajaan Negeri turut menyalurkan RM2 juta bagi manfaat kepada 8,317 pelajar Tingkatan Enam (Pra-U) dengan setiap pelajar menerima RM200. Langkah ini menjadi galakan kepada pelajar untuk terus melangkah ke menara gading dengan semangat dan iltizam tinggi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa inisiatif tersebut menjadi bukti bahawa Kerajaan Negeri Johor kekal meletakkan pendidikan sebagai teras utama.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Johor kekal menempatkan pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan negeri. Ia selaras dengan visi Maju Johor 2030 yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan pembentukan generasi berilmu, berakhlak serta berdaya saing.
“UMNO Johor Bahru yakin bahawa dasar prihatin seperti ini akan terus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri yang sentiasa mendahulukan rakyat dalam setiap dasar dan tindakan,” katanya lagi. – UMNO Online
