‘Parenting at Work’, Program Pembangunan Keluarga LPPKN Beri Impak Positif – Noraini
KUALA LUMPUR, 30 Okt – Modul seperti ‘Parenting at Work’ dan Program Pembangunan Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) ternyata dapat memberi impak positif dalam meningkatkan literasi kekeluargaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, LPPKN telah menggunakan pendekatan Model Penilaian Kirkpatrick untuk menilai keberkesanan program-program yang dianjurkan.

“Bagi menilai keberkesanan program pembangunan keluarga yang dianjurkan, kementerian melalui LPPKN telah menggunakan pendekatan Model Penilaian Kirkpatrick sebagai penilaian.
“Terdapat tiga indikator utama yang digunakan untuk mengukur impak intervensi secara menyeluruh. Pertama, indikator pengetahuan. Mengukur peratusan peningkatan literasi kekeluargaan, kemahiran dan keibubapaan serta pengurusan konflik dalam kalangan peserta termasuk lelaki.
“Kedua, indikator pengamalan iaitu mengukur peratusan peserta yang mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam konteks interaksi harian bersama pasangan dan anak-anak.
“Ketiga, indikator perubahan tingkah laku iaitu mengukur peratusan peserta yang menunjukkan perubahan tingkah laku positif dalam tempoh masa tertentu selepas program,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri, di Parlimen sebentar tadi.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, hampir 70 peratus peserta mengalami perubahan positif dalam tingkah laku selepas mengikuti Program Pembangunan Keluarga LPPKN.
“Penemuan penilaian ke atas Program Pembangunan Keluarga LPPKN sehingga suku kedua tahun 2025 menunjukkan impak positif apabila lebih 90 peratus peserta melaporkan peningkatan pengetahuan selepas mengikuti program, mengamalkan pengetahuan dipelajari dan hampir 70 peratus peserta pula mengalami perubahan positif dalam tingkah laku.
“Secara keseluruhannya indikator-indikator ini menunjukkan bahawa modul seperti ‘Parenting at Work’ dan Program Pembangunan Keluarga LPPKN memberi impak positif dalam meningkatkan literasi kekeluargaan, memupuk budaya hormat menghormati di antara pasangan dan seterusnya membantu mengurangkan risiko penderaan termasuk terhadap lelaki.
“Statistik PDRM menunjukkan bahawa golongan lelaki juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Pada tahun 2022 seramai 1,778 mangsa lelaki direkodkan.
“Pada tahun 2023 terdapat penurunan kepada 1,213 kes. Pada tahun 2024, kes naik semula kepada 1,865 kes dan bagi tahun 2025, sehingga Julai sahaja sebanyak 1,183 kes keganasan rumah tangga yang melibatkan kaum lelaki,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa satu inisiatif strategik yang dinamakan sebagai Program Lelaki Budiman Negara dalam memperkasa peranan lelaki.
“Kerajaan melalui LPPKN sedang giat melaksanakan satu inisiatif strategik selaras dengan fokus Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) untuk memperkukuh institusi kekeluargaan dan meningkatkan kualiti modal insan negara.
“Inisiatif ini adalah dinamakan Program Lelaki Budiman Negara yang mengandungi pembangunan dan pelaksanaan modul pendidikan Lelaki Budiman yang secara langsung menyokong mandat LPPKN dalam memperkasa peranan lelaki sebagai suami, bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab,” katanya lagi. – UMNO Online
