Malaysia Terus Diyakini Sebagai Destinasi Utama Pelaburan Ilmu
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Malaysia kini terus diyakini sebagai destinasi utama pelaburan ilmu dan bakat global, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Zambry berkata, kampus Monash Universiti Malaysia yang akan dibina bersama pemaju TRX City menjadi lambang keyakinan komuniti global terhadap ekosistem pendidikan tinggi Malaysia.

“Saya berpeluang menyaksikan satu detik bersejarah apabila Monash University Malaysia, bersama rakan pemaju TRX City, mengumumkan pembangunan kampus baharu bernilai RM2.8 bilion di Tun Razak Exchange (TRX), menjadikannya pelaburan terbesar Monash University di rantau Asia Tenggara.
“Majlis bersejarah ini turut disaksikan oleh Perdana Menteri Australia, TYT Anthony Albanese, dan Naib Canselor serta Presiden Monash University, Profesor Sharon Pickering.
“Kampus ini bukan sekadar sebuah institusi baharu tetapi lambang keyakinan komuniti global terhadap ekosistem pendidikan tinggi Malaysia yang terus berkembang sebagai hab ilmu, penyelidikan dan inovasi bertaraf dunia,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kampus tersebut akan menjadi nadi kepada pelbagai bidang baharu.
“Dengan kapasiti 22,500 pelajar dan 1,700 kakitangan, kampus moden ini dijangka menyumbang lebih RM19.1 bilion kepada ekonomi negara dalam tempoh sepuluh tahun melalui pelaburan infrastruktur, peluang pekerjaan, inovasi dan jaringan komuniti yang inklusif.
“Lebih penting, kampus ini akan menjadi nadi kepada pelbagai bidang baharu seperti kesihatan global dan digital, adaptasi perubahan iklim, etika penggunaan kecerdasan buatan (AI), analitik perniagaan dan kewangan, teknologi semikonduktor, pembuatan termaju, keselamatan siber serta peralihan tenaga,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sinergi antara universiti antarabangsa dan dasar kerajaan membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan menyebabkan Malaysia dipilih sebagai destinasi utama pelaburan ilmu.
“Malaysia kini terus diyakini sebagai destinasi utama pelaburan ilmu dan bakat global, di mana sinergi antara universiti antarabangsa dan dasar kerajaan membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan dan penyelidikan berimpak tinggi.
“Dalam ucapan, saya percaya bahawa kampus ini bukan sahaja menandakan pelaburan ekonomi, tetapi pelaburan terhadap masa depan, masa depan ilmu, bakat, dan kemanusiaan,” katanya lagi. – UMNO Online
