Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 Berakhir Dengan Cemerlang – Mohamad Alamin
PUTRAJAYA, 29 Okt – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober 2025 menandakan berakhirnya kepengerusian Malaysia dalam ASEAN bagi tahun ini.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, berkata Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta sokongan padu Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, telah berjaya membuktikan keupayaan negara mengemudi ASEAN dengan penuh cemerlang.
Menurut beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta pelbagai sidang sepanjang tahun 2025 membuktikan Malaysia telah menunaikan amanah sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan jayanya di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

“Malaysia juga menzahirkan sokongan padu kepada Filipina yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan ASEAN pada tahun hadapan,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.
Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan kepengerusian ASEAN Malaysia sepanjang tahun 2025, khususnya warga Kementerian Luar Negeri yang bertungkus-lumus memastikan kejayaan penganjuran puluhan mesyuarat dan sidang utama.
Ujarnya, antara pencapaian utama tahun ini ialah penerimaan rasmi Timor Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, pemuktamadan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, Protokol Kedua ATIGA, ASEAN Power Grid serta KL Accord.
“Kehadiran pemimpin-pemimpin dunia berprofil tinggi seperti Presiden Amerika Syarikat, Brazil, China, Jepun, Republik Korea, Rusia dan Setiausaha Agung PBB dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ini juga membuktikan kemampuan dan reputasi Malaysia sebagai salah satu kuasa serantau yang dihormati di pentas dunia.
“Saya turut mengambil kesempatan dalam pertemuan saya dengan pemimpin-pemimpin dunia ini untuk menyuarakan dan menegaskan pendirian Malaysia dalam beberapa isu yang menjadi perhatian dunia seperti isu reformasi PBB, isu Palestin serta Myanmar.
“Melangkah ke hadapan, visi Malaysia untuk ASEAN yang aman, stabil dan makmur akan terus berlandaskan prinsip diplomasi keamanan yang menjadi asas perpaduan serantau,” ujarnya.
Tambahnya lagi, ASEAN akan terus memainkan peranan penting sebagai tonggak yang melindungi kepentingan lebih 695 juta penduduk Asia Tenggara dalam memastikan kemakmuran dan kestabilan rantau ini berkekalan. – UMNO Online
