Johor Catat Sejarah, Negeri Pertama Diiktiraf Smart State Malaysia
KUALA LUMPUR, 28 Okt — Negeri Johor sekali lagi membuktikan kecemerlangan kepimpinannya apabila mencatat sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia diiktiraf sebagai Smart State, hasil kejayaan kesemua 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mencapai sekurang-kurangnya Tahap 1 – Smart City Early Adopter dalam penarafan Bandar Pintar Malaysia.
Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata kejayaan luar biasa ini merupakan hasil kepimpinan berwawasan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang sentiasa menekankan nilai inovasi, kecekapan dan kasih sayang dalam pentadbiran negeri.

“Menjunjung kasih ke bawah DYAM Pemangku Sultan Johor yang sentiasa menekankan kepentingan inovasi, kecekapan tadbir urus dan kesejahteraan rakyat, hari ini Johor melakar sejarah gemilang apabila menjadi negeri pertama di Malaysia diiktiraf sebagai Smart State,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Ujarnya, penekanan kepentingan inovasi, kecekapan tadbir urus dan kesejahteraan rakyat,membawa kepada kejayaan ini yang menjadikan Johor mencapai sasaran Blueprint Bandar Pintar Johor 2030 lima tahun lebih awal daripada perancangan asal.
“Lebih membanggakan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mencipta sejarah apabila muncul sebagai PBT pertama di Malaysia mencapai Tahap 3 – Leading Smart City, sekaligus mengangkat Johor sebagai peneraju utama agenda bandar pintar negara.”
Jelasnya, pengiktirafan ini disampaikan sempena Majlis Hari Perancang Bandar Sedunia & National Planning Congress (NPC) 2025 di Putrajaya oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Fadillah Yusof.
“Di bawah gagasan Maju Johor, inisiatif bandar pintar bukan sekadar agenda digital tetapi cerminan kepada sebuah pentadbiran moden yang berpaksikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan lestari,” katanya.
Menurut beliau, tujuh PBT Johor menerima pengiktirafan awal sebagai Smart City Early Adopter pada tahun 2024, manakala lapan lagi menyertai pada tahun 2025, menjadikan Johor sebagai negeri pertama di Malaysia yang memiliki 16 PBT dalam kategori Negeri Pintar sepenuhnya.

Kejayaan ini, katanya, adalah hasil sinergi antara PlanMalaysia@Johor, Portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, semua PBT, agensi teknikal, universiti, komuniti serta sektor swasta yang berganding bahu merealisasikan visi negeri.
“Antara inisiatif strategik yang dilaksanakan termasuk penubuhan Smart Command Centre di setiap PBT, pemasangan lebih 2,000 Smart CCTV di Greater Johor Bahru, penggunaan sensor udara pintar, sistem trafik pintar, pendigitalan lesen perniagaan, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, serta sistem pengurusan sisa berasaskan AI.
“Semua inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, malah memperkukuh keselamatan, kebersihan dan kualiti hidup rakyat Johor,” ujar beliau.
Selain agenda digital, jelasnya, kerajaan Negeri Johor turut giat melaksanakan Johor Green Deal bagi memastikan pembangunan negeri berlangsung secara lestari dan berdaya tahan dengan antara fokus utama ialah infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV), pengurusan tenaga hijau, serta program kesedaran gaya hidup rendah karbon.
“Kejayaan Johor ini bukti bahawa kepimpinan berpaksikan visi, integriti dan tindakan mampu menghasilkan transformasi besar buat rakyat. Ia juga membuktikan bahawa kemajuan teknologi boleh digerakkan seiring dengan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan sosial,” katanya lagi.
Mohd Jafni turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Onn Hafiz atas iltizam dan kepercayaan beliau dalam memastikan Johor kekal di barisan hadapan kemajuan bandar pintar di Malaysia.
“Johor akan terus mara ke hadapan menjadi negeri yang Smart, Green & Liveable, serta kekal unggul sebagai contoh terbaik pembangunan moden yang berpaksikan rakyat,” katanya menutup kenyataan. – UMNO Online
