Misi Pasca Banjir: Dr Akmal dan Pemuda UMNO Hulur Bantuan Di Bukit Gantang
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh yang turun padang menziarahi mangsa banjir di kawasan Parlimen Bukit Gantang.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia berkata, Misi Bantuan Pasca Banjir @ Perak melibatkan beberapa kawasan seperti Sungai Nyior, Temerlok dan Kuala Trong dengan fokus kepada kerja-kerja pembersihan rumah serta penyampaian bantuan kepada mangsa banjir.
“Walaupun jadual beliau padat, Dr Akmal tetap meluangkan masa bersama kami menziarahi keluarga yang terkesan, menyertai gotong-royong dan memberi semangat kepada pasukan di lapangan. Semangat sebegini benar-benar menyuntik motivasi buat kami semua di Bukit Gantang.
“Saya amat menghargai kehadiran seluruh jentera Pemuda UMNO Malaysia, Pemuda UMNO Negeri Perak serta rakan-rakan di Bahagian Bukit Gantang yang bersama-sama menjayakan misi ini.
“Apabila pemimpin turun bersama rakyat, bukan untuk bergambar tetapi untuk berpeluh dan menyingsing lengan, di situlah roh perjuangan sebenar UMNO masih hidup. Terima kasih atas komitmen semua yang hadir dan tak lupa buat Ustaz Salim yang menyediakan juadah makan tengah hari buat semua rombongan yg hadir hari ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, menerusi perkongsian berbeza, Sollehin turut berkongsi kehadiran rombongan Misi Pasca Banjir ke rumah seorang warga emas yang memerlukan perhatian khas.
Menurut beliau, rumah Makcik Ramlah menjadi tumpuan utama misi kali ini memandangkan keadaan dirinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan kudung kedua-dua kaki, selain hanya tinggal bersama seorang anak perempuan.
“Memang saya rasa inilah rumah yang paling wajar kita tumpu dulu. Eloklah geng Pemuda bantu sama-sama hari ni.
“Kita bantu sedaya upaya kita. Moga Allah terima usaha kecil ini dan redha dengan amal kita,” ujar beliau. – UMNO Online
