Pamer Keanggunan Seri Warisan… Noraini Hadir Program Pasangan Ketua-Ketua Negara
KUALA LUMPUR, 28 Okt – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah berpeluang untuk hadir ke Program Pasangan kepada Ketua-Ketua Negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Isnin.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa program tersebut telah dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Saya telah berpeluang untuk menghadiri Program Pasangan kepada Ketua-Ketua Negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertempat di Seri Negara, Kuala Lumpur.
“Program ini diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Majlis penuh bermakna ini dihoskan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan turut dihadiri oleh sembilan pasangan kepada Ketua-Ketua Negara ASEAN. Turut hadir Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta YM Raja Datin Seri Datuk Salbiah Tengku Nujumudin, isteri Menteri Luar Negeri,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO turut memaklumkan bahawa demonstrasi kebaya telah menjadi antara intipati program untuk memperagakan kehalusan seni dan budaya dikongsi negara-negara serantau.

“Suasana di Seri Negara begitu harmoni dengan keanggunan seni warisan dan semangat serumpun. Antara pengisian menarik yang disusun termasuk demonstrasi kebaya bertemakan ‘ASEAN Shared Intangible Cultural Heritage’ yang telah diiktiraf oleh UNESCO, memperlihatkan kehalusan seni dan makna budaya yang dikongsi antara negara-negara serantau.
“Turut dipersembahkan video konservasi Seri Negara yang mengimbas perjalanan bangunan bersejarah itu, diikuti dengan Bengkel Terrarium yang memberi ruang kepada tetamu berehat dan berinteraksi secara santai.
“Program diakhiri dengan jamuan makan tengah hari yang menampilkan sajian istimewa Malaysia, disediakan dengan penuh kasih oleh chef tempatan, memperkenalkan citarasa negara kepada para tetamu ASEAN,” katanya lagi. – UMNO Online
