KESUMA Fokus TVET Melalui Akademi Dalam Industri – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 28 Okt – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yakin Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) akan membawa perubahan struktur melalui reformasi pasaran buruh bagi mewujudkan ekosistem pekerjaan yang dinamik, berdaya saing dan mampan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, RMK-13 mensasarkan peningkatan 70 peratus guna tenaga penuh berkaitan kemahiran menjelang 2030 dan 60 peratus lepasan Sijil Pelajan Malaysia (SPM) menyertai program Pendidikan, Latihan, Teknikal dan Vokasional (TVET).
“KESUMA telah merangka pelbagai inisiatif bagi memperkukuh ekosistem TVET, dengan tumpuan utama kepada penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri seperti pelaksanaan program Akademi Dalam Industri (ADI) yang dilaksanakan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
“Langkah utama ialah peluasan pelaksanaan ADI, yang kini melibatkan 1,687 syarikat, 237 pusat latihan swasta dan 67 pusat latihan awam bagi menyediakan laluan latihan berpaksikan tempat kerja.
“Kerajaan memperkukuh Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) dengan menyesuaikan semula standard kemahiran atau National Occupational Skills Standard (NOSS) agar selari dengan teknologi baharu seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau dan digitalisasi.
“Selain itu, RMK13 turut mencadangkan peluasan SPKM sehingga Tahap 8 bagi membolehkan laluan kemahiran mempunyai peluang ke peringkat tertinggi yang sama seperti laluan akademik, seterusnya meningkatkan mobiliti, pengiktirafan dan nilai pasaran tenaga kerja berkemahiran negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir TS Zahir Hasan meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan perancangan terperinci untuk menyediakan pekerja berkemahiran memenuhi keperluan industri selari dengan Strategi B1.8 iaitu memperkukuh Ekosistem TVET dalam RMK13.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan, pelbagai langkah sedang dilaksanakan bagi memperkukuhkan daya saing graduan TVET serta mempercepatkan integrasi dan industri.
“Langkah-langkah ini memperkukuh daya saing graduan TVET, mempercepat integrasi, industri–institusi, serta meletakkan Malaysia sebaris dengan negara maju dari segi pengiktirafan kelayakan teknikal dan profesional.
Tambah Ahli Parlimen Lipis lagi, KESUMA komited bagi memperkukuhkan tadbir urus TVET melalui penubuhan Suruhanjaya TVET, penggubalan Akta TVET, dan pindaan Akta 652 bagi memartabatkan TVET setara laluan akademik.
“Penawaran program TVET juga akan diselaraskan dengan keperluan industri berasaskan sektor bernilai tinggi dan teknologi termaju,” ujarnya. – UMNO Online
